LIFEPROFIT Sdn Bhd beri jaminan wang kemenangan akan diselesaikan dalam masa 30 hari. -Foto fail
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


PENGURUS acara Tour de Selangor 2017, LifeProfit Sdn Bhd memberi jaminan tidak timbul isu membabitkan wang kemenangan pasukan dan kontraktor yang terbabit dengan perlumbaan berbasikal berstatus 2.2 itu.

Menurut Pengarah Urusan LifeProfit, Azri Che Noh, wang kemenangan serta baki bayaran kepada kontraktor akan dijelaskan dalam tempoh 30 hari.

“Kami akan berusaha dan memastikan perkara ini diselesaikan dalam tempoh 30 hari... wang kemenangan dan bayaran kepada kontraktor yang masih berbaki RM300,000,” katanya.

Edisi pertama Tour de Selangor yang berakhir Sabtu lalu diadakan sebanyak lima peringkat sejauh 558.4 kilometer menelan kos kira-kira RM1.5 juta membabitkan 15 pasukan yang bertanding dari dalam dan luar negara.

Kejohanan berstatus 2.2, sama seperti Jelajah Malaysia dan Tour of Malaysia, berada dalam kalendar Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menawarkan wang kemenangan berjumlah RM86,000 bagi merebut empat jersi yang ditawarkan.

Perlumbaan berbasikal di Malaysia sering berdepan isu masalah pembayaran wang kemenangan dan kontraktor dengan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Salleh awal bulan ini membangkitkan perkara itu membabitkan Le Tour de Langkawi 2017 dan Jelajah Malaysia 2016.

Kejohanan didominasi pasukan benua negara, Team Sapura Cycling (TSC) apabila muncul pasukan terbaik perlumbaan selain pelumbanya, Zawawi Azman meraih jersi kuning (kategori individu keseluruhan) dan jersi merah (Raja Bukit).

Manakala pemilik jersi biru (Raja Pecut) menjadi milik Elmi Jumari dari PDRM dan pelumba TSG, Nur Aiman Zariff muncul pelumba muda terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 4:11 PM