DHAARMA Raj (tengah) lega tiada kecederaan membelenggu skuad negara. Foto ZUNNUR AL SHAFIQ
Naqib Nor Said
naqib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah (gambar) menyifatkan dua aksi pemanas badan sebelum perlawanan sulung menentang pasukan ranking kelapan dunia, China dalam aksi Kumpulan A Piala Asia Sabtu ini, penting bagi menilai kekuatan Malaysian Tigress kendaliannya.

Skuad hoki wanita negara bertolak ke Kakamigahara, Jepun malam tadi dan dijadualkan bertemu pasukan ranking ke-12 dunia, India yang berada dalam kumpulan sama Rabu ini dan Jepun keesokan harinya untuk aksi persahabatan berkenaan.

“Saya memang meminta Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Terry Walsh untuk mengatur satu aksi pemanas badan dengan India kerana mahu mengkaji kekuatan mereka.

“Saya tidak kisah walaupun kalah kepada India yang mendapat sentuhan jurulatih baharu (Sjoerd Marijne dari Belanda) dalam aksi pemanas badan itu, kerana apa yang penting adalah perlawanan sebenar nanti,” katanya semalam.

Dhaarma berkata, beliau juga berasa lega kerana tidak berdepan sebarang masalah kecederaan pemain sekali gus hadir di Jepun dengan skuad lengkap.

Bagaimanapun, misi skuad negara untuk mencari tiket ke Piala Dunia 2018 menerusi status juara Piala Asia sedikit sukar apabila diletakkan dalam Kumpulan A bersama dua gergasi utama Asia China dan India disamping Singapura.

Malaysia yang berada di ranking ke-22 dunia dilihat tiada masalah untuk menewaskan Singapura, hanya mereka perlu melakar kejutan sama ada ke atas China atau India untuk meraih dua kedudukan teratas kumpulan bagi mendapat laluan lebih mudah di suku akhir.

Untuk rekod, skuad kendalian Dhaarma mudah membenam Singapura 5-0 di Sukan SEA, Ogos lalu. Untuk pertemuan kali terakhir dengan India dan China di Trofi Juara-Juara Asia 2016, masing-masing Malaysian Tigress tewas 2-0 dan 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 12:56 PM