PASUKAN BSN juara Kejohanan Tenis Terbuka Melaka.
Nazri Abu Bakar
sukan@hmetro.com.my


Melaka: Hampir 200 pemain dari seluruh negara tampil menyertai Kejohanan Tenis Terbuka Melaka anjuran Persatuan Lawn Tenis Melaka (MLTA) yang dimenangi Bank Simpanan Nasional (BSN) di Kompleks Tenis Ayer Keroh, baru-baru ini.

Presiden MLTA, Muhammad Shahrul Hafidz Ab Rahim berkata, kejohanan secara berpasukan itu berjaya menarik penyertaan kelab dari Kelantan, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Katanya, kejayaan penganjuran itu menjadi pemangkin buat MLTA untuk mengadakan lebih banyak kejohanan sama pada masa depan sekali gus mendukung matlamat “Tennis For All” yang diperjuangkan badan induk berkenaan.

Menurutnya, MLTA berhasrat mengembangkan penyertaan kejohanan ke peringkat antarabangsa sebagai salah satu produk pelancongan sukan di Melaka.

“Prasarana baik disediakan Majlis Perbandaran Hang tuah Jaya (MPHTJ) serta sumbangan daripada orang perseorangan dan syarikat korporat mendokong kejayaan kejohanan ini.

“Kerjasama Kelab Tenis Ayer Keroh Melaka (KTAKM), Persatuan Tenis Alor Gajah (AGTA) dan Kelab Tenis Akasia (KTA) juga berjaya menyemarakkan sambutan positif daripada pasukan yang bertanding,” katanya.

Shahrul Hafidz berkata, pasukan Bank Simpanan Nasional (BSN) dari Kuala Lumpur muncul juara dengan membawa pulang hadiah tunai RM1,000 dan tempat kedua Aniesya GM dari Kelantan meraih RM500.

Pasukan Persatuan Tenis Alor Gajah B (AGTA B) dan pasukan Wallop dari Negeri Sembilan yang juga mara ke separuh akhir, masing-masing menerima hadiah tunai RM200.

Beliau berkata, persatuan turut merancang untuk menjadualkan pertandingan seumpamanya di dalam kalendar kejohanan anjuran MLTA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 12:03 PM