MARCELO (kanan) jaring gol ketiga Real selepas menerima hantaran Benzema. -Foto AFP
AFP

MADRID: Real Madrid kembali menghambat pendahulu La Liga, Barcelona dengan merapatkan jurang kepada lima mata selepas menewaskan Eibar 3-0, awal pagi tadi.

Real dilihat bergelut di Santiago Bernabeu musim ini, kehilangan empat mata dalam enam aksi terdahulu di laman sendiri.

Bagaimanapun, Eibar gagal mengambil kesempatan apabila gol sendiri Paulo Oliveira dan kesilapan penjaga gol, Marko Dmitrovic yang gagal menangkap kemas percubaan Marco Asensio, membolehkan juara Eropah itu mendahului 2-0 di separuh masa.

Cristiano Ronaldo yang dijangka menyambar gelaran Pemain Terbaik Tahunan FIFA di London kali ini terus diberi kepercayaan mengemudi jentera serangan tetapi masih buntu menghasilkan gol dalam saingan La Liga.

“Ia jelas sekali lebih hebat jika Ronaldo menjaringkan gol, tetapi saya tidak bimbang,” kata bos Real Madrid, Zinedine Zidane.

“Musim ini masih panjang dan jika dia penjaring terbanyak Liga Juara-Juara tidak mustahil prestasi itu akan kembali bagi La Liga.”

Gol ketiga hadir menerusi kombinasi pemain gantian Karim Benzema yang melorongkan bola buat Marcelo untuk disudahkan pertahanan kiri Brazil itu ketika permainan berbaki kira-kira lapan minit.

Kemenangan itu melonjak Real mengatasi Atletico Madrid yang kembali ke kedudukan ketiga selepas Los Rojiblancos turut mencatat kemenangan 1-0 di Celta Vigo sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 9:00 AM