SANDRO (kanan) meraikan gol pertama ketika menentang pasukan Felda United pada saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, semalam. FOTO Amran Hamid
Zuliaty Zulkiffli
sukan@hmetro.com.my


PEMAIN import pasukan Kedah, Sandro Da Silva Mendonca akan menyambung kontrak dengan pasukan Kedah kerana sudah selesa dan seronok dengan semua pemain pasukan itu sehingga mampu ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini.

Sandro berkata, walaupun perlawanan semalam menentang Felda United di Stadium Darul Aman agak sengit namun dengan semangat berpasukan yang ada, mereka mampu ke peringkat akhir dengan keputusan 2-0.

"Walaupun perlawanan akhir nanti kami akan bertemu pasukan Johor Darul Takzim (JDT), namun saya yakin pasukan kami akan lakukan yang terbaik kerana pasukan itu agak hebat di negara ini dan saya yakin peluang untuk memenanginya 50-50," katanya ketika ditemui di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah di Alor Setar, selepas menerima lesen memandu, hari ini.

SANDRO menunjukkan replika lesen memandunya setelah lulus ujian memandu. FOTO Sharul Hafiz Zam

Sandro berkata, dia sangat gembira dengan kemenangan semalam dan mutu persembahan yang ditunjukkan oleh pasukan itu walaupun ramai pemain tidak dapat turun disebabkan kecederaan tetapi apa yang penting semangat untuk menang.

Katanya, dia akan memastikan pasukan Kedah akan memenangi perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini dan memerlukan kerjasama dari semua pemain memandangkan pasukan Johor DT adalah pasukan yang kuat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 9:21 PM