SIVASANGARI (kanan) ungguli Terbuka Malaysia selepas menewaskanpencabarnya Milnay Louw dari Afrika Selatan. FOTO/BERNAMA
Devinder Singh
bhsukan@bh.com.my


PERSEMBAHAN menakjubkan pemain skuasy remaja, Ng Eain Yow dan S Sivasangari pada Terbuka Malaysia menandakan permulaan era baru sukan itu di Malaysia, bagi menggantikan pemain senior yang semakin berkurangan.

Persaraan Azlan Iskandar dan Ong Beng Hee serta prestasi Nicol David yang semakin menurun menyebabkan jurang yang ada sukar diisi, sehinggalah Eain Yow dan Sivasangari menyerlah di Terbuka Malaysia.

Pemain pilihan keempat, Sivasangari yang berumur 18 tahun mencapai kejayaan terbesar dalam kariernya apabila muncul pemain kedua negara selepas Nicol memenangi gelaran itu.

Eain Yow, 19, turun bertanding apabila diberi wild card, menewaskan dua pemain ranking yang lebih tinggi daripadanya termasuklah juara kebangsaan, Ivan Yuen.


EAIN menewaskan dua pemain ranking yang lebih tinggi daripadanya termasuklah juara kebangsaan, Ivan Yuen.

Dia muncul pemain lelaki negara pertama melangkah ke final dalam tempoh tujuh tahun sebelum tewas kepada juara Asia 2015 dari Hong Kong, Leo Au di pentas akhir.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam menggambarkan persembahan Eain Yow dan Sivasangari sebagai begitu menyerlah dan percaya kedua-dua pemain itu bakal mengubah masa depan sukan skuasy.

“Pendekatan bagaimana Eain Yow mara ke final patut dipuji, begitu juga cara Sivasangari menang,” kata Maniam.

“Di samping beberapa pemain lain, mereka paling menyerlah. Tetapi jurang antara pemain nombor 28 dunia (Leo) dan nombor 77 (Eain Yow) adalah sangat jelas.”

Peningkatan prestasi Eian Yow dan Sivasangari itu bakal menjanjikan masa depan yang lebih cerah, namun mereka juga perlu memenuhi sasaran termasuklah di Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Ini bukanlah perkara baru, kerana kami pernah melaluinya. Apabila kami jangkakan mereka mampu menyerlah, tetapi mereka gagal melakukannya dan begitulah sebaliknya,” kata Maniam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 5:05 PM