BOS Gaurus yang banyak dibarisi pemain muda mempunyai masa depan cerah untuk menyerlah dalam saingan musim depan.
Mohamad Zulfaizan Mansor dan Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my


BIARPUN gagal menamatkan penantian 10 tahun Perak untuk mara ke final Piala Malaysia, Mehmet Durakovic tetap enggan menyalahkan barisan pemainnya atas kegagalan itu.

Sebaliknya, jurulatih berusia 52 tahun itu menegaskan betapa skuad The Bos Gaurus mempunyai masa depan yang baik berdasarkan kualiti pemain muda yang mereka miliki ketika ini.

“Pemain seperti Beto (Ahmad Khairil Anuar Zamri), Nazirul Naim (Che Hashim) Amirul Azhan Aznan dan penjaga gol, Hafizul Hakim (Khairul Nizam Jothy) adalah masa depan buat Perak.

“Ketiadaan lima pemain utama yang cedera memang menyukarkan kami, tapi mereka (pemain muda) tetap mempamerkan persembahan yang menakjubkan.


PEMAIN JOHOR DT, Gonzalo Gabriel Cabrera (kanan) cuba melepasi pemain Perak Amirul Azhan Aznan (kiri) dan Mohamad Nasir Basharudin.

“Sepuluh tahun Perak menunggu untuk ke final Piala Malaysia, namun kami terpaksa terima tidak dapat menunaikan impian itu. Namun, pasukan Perak tetap seperti satu keluarga, kami menang bersama dan kalah pun bersama,” katanya.

Durakovic berkata demikian pada sidang media selepas aksi separuh kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi yang menyaksikan pasukannya tewas 0-3 kepada juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

Kekalahan itu menyaksikan Perak tersingkir daripada saingan Piala Malaysia musim ini dengan agregat 4-1, sekali gus impian Durakovic untuk mengulangi pencapaian menjuarai piala berprestij itu ketika bersama Selangor pada 2015 juga tidak kesampaian.

Selain itu, Durakovic enggan mengulas lanjut mengenai jaringan penyamaan Perak pada minit ke-61 dibatalkan pengadil kerana ofsaid sedangkan ia adalah gol sendiri pemain Johor DT, S Kunanlan yang tertampan masuk bola hantaran Gilmar Da Silva.

“Saya tidak tahu untuk komen,” kata Durakovic ketika ditanya adakah insiden itu menjadi punca kekalahan pasukannya.

“Apapun, saya bangga dengan semua pemain dan selepas ini kami akan pulang (ke Ipoh) untuk lakukan sesi pemulihan, melihat jika ada pemain yang cedera untuk persediaan perlawanan akan datang.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 4:11 PM