CONTE (kiri) sudah beri 150 peratus kepada kelab. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Antonio Conte menegaskan dia langsung tidak risau soal pemecatan selepas Chelsea kendaliannya mengurangkan tekanan itu dengan kemenangan 4-2 ke atas Watford.

Kedudukan Conte menjadi perhatian berikutan beberapa keputusan kurang baik termasuk dua kekalahan berturut-turut kepada Manchester City dan Crystal Palace serta seri 3-3 dengan AS Roma di gelanggang sendiri dalam aksi Liga Juara-Juara.

Ada laporan mengatakan pemain kurang gembira dengan corak latihan Conte, ketika pengurus dari Itali itu mengakui pasukannya kini bergelut untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan cuba bersaing di pentas Eropah.


PERTAHANAN Watford, Christian Kabasele (baju merah) mengekang penyerang Chelsea, Michy Batshuayi. FOTO/AFP

Conte menegaskan tekanan yang dihadapinya kini adalah lebih menjurus kepada usaha mengekalkan aksi terbaik pasukan, bukannya terlalu memikirkan soal jawatannya.

“Saya dapat rasakan tekanan tetapi ia bukan soal keputusan kelab mahu memecat saya. Jujurnya, saya tidak rasakan tekanan itu dan saya yakin dengan kerja saya,” kata Conte.

“Saya akan terus kekalkan apa yang saya sedang lakukan buat kelab ini. Saya tidak akan risau mengenainya. Tekanan yang ada sekarang adalah untuk pastikan pemain beraksi baik dan berikan kepuasan kepada penyokong.

“Mereka (penyokong) tunjukkan yang mereka mahu lebih lagi dalam setiap perlawanan. Tekanan itu yang saya sedang rasa sekarang, selebihnya tidak lagi penting buat saya.

“Ini kerja kami. Apabila pulang ke rumah, saya pasti gembira kerana saya tahu yang saya sudah berikan 150 peratus untuk kelab dan pemain juga lakukan perkara sama.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 12:54 PM