VINGADA (kanan) berbincang bersama pembantunya Tan Cheng Hoe ketika sesi latihan pasukan Harimau Malaya di Wisma FAM Kelana Jaya. -Foto fail
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

PENGENDALI Harimau Malaya, Nelo Vingada berharap pemain yang akan dipanggil bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara pada 10 dan 13 November ini bebas daripada sebarang kecederaan ketika mereka sedang memburu kemenangan pertama dalam Kumpulan B itu.

Vingada berkata, kebimbangan itu hadir ekoran tempoh singkat lima hari dimilikinya untuk mempersiapkan pasukan sebaik aksi final Piala Malaysia berakhir pada 4 November ini, di mana pemain-pemain terdedah mendapatkan kecederaan.

“Kita tahu sebahagian besar teras utama pasukan Malaysia hadirnya daripada empat pasukan yang berjaya mara ke separuh akhir iaitu Johor DT (Johor Darul Ta’zim), Perak, Kedah dan FELDA United.

“Bayangkan kalau Johor DT dan Kedah ke final dan adanya pemain utama kebangsaan mengalami kecederaan, ianya sudah tentu memberi kesan kepada kekuatan pasukan.

“Saya harap mana-mana pemain kebangsaan dapat mengelakkan diri daripada ditimpa kecederaan. Saya tidak sanggup kehilangan pemain lagi kerana kita masih berpeluang untuk merebut tiket ke pusingan akhir Piala Asia pada 2019 nanti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Krisis kecederaan dalam kalangan pemain bukanlah isu baru setiap kali Harimau Malaya bersiap-siap menghadapi perlawanan di peringkat antarabangsa.

Terbaru, sebelum aksi menentang Hong Kong 10 Oktober lalu, Vingada terpaksa mengenepikan dua penyerang utama - Ahmad Hazwan Bakri dan Muhammad Shahrel Fikri yang mengalami kecederaan.

Malah, lebih memburukkan keadaan apabila seorang lagi penyerang negara Darren Lok turut mengadu kesakitan beberapa jam sebelum perlawanan yang menyaksikan bekas pengendali Arab Saudi itu menggunakan formasi 4-6-0, bermain tanpa penyerang.

Hasilnya, Malaysia tewas 2-0 di tangan Hong Kong sekali gus meletakkan pasukan di tangga tercorot dengan satu mata tanpa sebarang kemenangan dalam tiga aksi terdahulu.

“Kemungkinan dua perlawanan bertemu Korea Utara akan diadakan di Bangkok, Thailand. Ini kesempatan terbaik buat kita mencatat kemenangan pertama memandangkan Bangkok bukanlah tempat yang asing buat kita,” katanya.

Semalam, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan aksi Korea Utara dan Malaysia akan berlangsung di venue berkecuali selepas tiga kali ditunda atas sebab ketegangan politik di Republik itu.

Korea Utara akan bertindak sebagai tuan rumah pada 10 November, diikuti Malaysia tiga hari kemudian di venue yang sama dengan AFC akan mengumumkan lokasi itu pada minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 3:34 PM