Timbalan Presiden PMNJ, Edee Noor (empat kiri ) bersama wakil atlet pada sidang media di Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


TALI pinggang Menteri Besar Johor dan Exco Belia Sukan Negeri Johor adalah antara tiga tali pinggang menjadi rebutan sempena Kejohanan Muaythai Terbuka Johor Siri Ke IV bermula 28 Oktober ini.

Timbalan Presiden Persatuan Muaythai Negeri Johor (PMNJ) merangkap Pengarah Kejohanan dan Program Sukan, Edee Noor Iskandar Jumaat berkata, kejohanan diadakan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) itu menghimpunkan 24 atlet profesional termasuk Perancis dan Singapura.

"Kejohanan menawarkan tiga tali pinggang utama iaitu Menteri Besar Johor, Exco Belia dan Sukan Negeri Johor dan Pandan Uptown.

"Kejohanan turut menampilkan keseluruhan atlet Johor khususnya pembangunan suman muaythai dijalankan dari tahun 2012 hingga sekarang," katanya pada sidang media Johor vs Challenger Kejohanan Muaythai Terbuka Johor Siri Ke IV 2017 di sini, hari ini.

Hadir sama Penaung PMNJ, Zaini Atan, Penasihat Agung Persatuan, Ustaz Ibrahim Mohd Salleh dan Pegawai Majlis Sukan Negeri Johor, Nurul Ain Bakri.

Edee berkata, tali pinggang Menteri Besar 58 kilogram membabitkan pertembungan antara Matt Korro dari Johor menentang Shaff FC (Sabah).

"Pertarungan tali pinggang Exco Belia dan Sukan Johor 54 kilogram membabitkan Jihin Radzuan dari Johor melawan Marilyn E (Singapura).
Saingan tali Pinggang Pandan Uptown 57kg membabitkan pertarungan Amirul Arsraf dari Johor menentang Iffar Dik Ngah (Kuala Lumpur)," katanya.

Katanya, selain tiga kategori profesional terdapat pertandingan Super 4 54 kg Piala Pusingan PMNJ menjadi rebutan pada pertandingan jam 6 petang hingga 11.45 malam di Stadium Tertutup MPPG.

Beliau berkata, dua peninju cilik Mohd Fadridz Mohd Fadzli yang popular dengan Lekir Raja Puyu akan berentap dalam kategori Junior 30kg dan Aziq Abdullah, 12 atau Adik Iron berentap dalam kategori Junior 33 kg.

Katanya, 24 atlet profesional iaitu 12 ahli PMNJ serta 12 peserta dari Perancis, Singapura, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan terbabit dalam pertandingan profesional itu.

Katanya, seramai 200 peserta amatur turut terbabit dalam pertandingan dalam kalangan atlet pembangunan sukan di negeri itu berusia daripada 10 tahun.

"Kejohanan amatur bertujuan mencari bakat atlet pembangunan sukan, gemilang dan profesional Johor dari peringkat akar umbi," katanya.

Sasaran adalah seramai 5,000 orang akan hadir ke venue saingan berlangsung pada 27 dan 28 Oktober.

"Biasanya harga tiket antara RM25 hingga RM100 tetapi kemasukan ke venue adalah percuma untuk merangsang minat orang ramai terutama penduduk sekitar.

"Malah PMNJ buat pertama kali memberi ruang kepada penduduk memperluaskan lagi kefahaman sukan muaythai dan mempromosikan sukan ini dalam kalangan masyarakat Johor," katanya sukan itu disertai peserta berusia 10 hingga 35 tahun.

Pertandingan juga menjadi medan ujian kepada 28 atlet pembangunan Johor berusia 8 hingga 17 tahun menempa nama di peringkat profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 6:01 PM