HEYNCKES bantu Bayern buru kemenangan kedua di bawah kendaliannya musim ini. FOTO/ REUTERS
AFP

MUNICH: Jupp Heynckes ceria melihat Thomas Mueller kembali ke prestasi terbaik selepas Bayern Munich menghidupkan semula kempen Liga Juara-Juara dengan kemenangan 3-0 ke atas Celtic, awal pagi tadi.

Kapten Bayern, Mueller meletakkan tuan rumah di depan selepas 17 minit permainan selepas Joshua Kimmich dan Mats Hummels menjamin kemenangan di Allianz Arena, semalam.

Keputusan itu meletakkan Bayern kini berada di tangga kedua Kumpulan B dengan enam mata, ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Paris Saint-Germain dan tiga mata di atas penghuni tangga ketiga, Celtic.

Ia adalah satu keputusan yang amat penting buat Bayern selepas tewas 0-3 di Paris tiga minggu lalu yang mana menjadi punca kepada penyingkiran Carlo Ancelotti.

Heynckes, 72, kembali daripada persaraan empat tahun untuk mengemudi Bayern dan menggantikan kerusi yang dikosongkan itu.


MULLER (kanan) melepasi pertahanan Celtic, Kieran Tierney. FOTO/ REUTERS

Dia meletakkan Mueller sebagai pilihannya di bahagian tengah serangan, membenarkan keselesaan kepadanya untuk berada di belakang Robert Lewandowski.

“Thomas menunjukkan prestasi yang baik, dia banyak berlari dan kita dapat melihat kelibat Thomas Mueller yang dulu,” kata Heynckes.

“Dia seorang pemain yang sudah mempunyai nama, seorang kapten dan gembira kerana dapat melihat dia beraksi semula.”

Mueller jelas bergelut dengan prestasi di bawah kendalian Ancelotti dan sering bermain di luar posisi sebenarnya.

Tetapi meskipun bintang Jerman itu gembira dengan kutipan tiga mata itu, dia bagaimanapun mahukan peningkatan lebih baik terutamanya ketika melakukan penyudah.

“Sikap lebih baik, kami lebih bermotivasi selepas kemenangan di Freiburg dan mahu mengekalkan momentum itu,” kata Mueller.

“Ia adalah tiga mata yang penting. Kami mencipta banyak peluang di babak kedua yang mana kami harus menyelesaikannya.”

Heynckes begitupun dilihat tidak gembira dengan penyudah Bayern apabila menekankan hanya tiga gol berjaya dilunaskan daripada 29 percubaan tepat mereka.

“Kami mencipta banyak peluang tapi tidak mampu mengambil kelebihan itu,” kata Heynckes. “Kami sedikit cuai dan ia tidak seharusnya berlaku. Kamu perlu sentiasa berwaspada dari awal hingga ke minit terakhir.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 3:10 PM