MUELLER (kiri) meriakan gol pertama Bayern bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
AFP

MUNICH: Jupp Heynckes menikmati kepulangan semula bergaya ke kancah Liga Juara-Juara apabila Bayern Munich mencetak kemenangan 3-0 ke atas Celtic di laman sendiri, awal pagi tadi.

Kemenangan itu mengembalikan semula kempen gergasi Jerman itu di kancah Eropah untuk menduduki tangga kedua Kumpulan B selepas mengutip enam mata daripada tiga perlawanan.

Kapten Bayern, Thomas Mueller meletakkan tuan rumah di depan selepas 17 minit permainan sebelum pertahanan Jerman, Joshua Kimmich menambah jaringan menerusi tandukan.

Mats Hummels - yang menegaskan Bayern kini tidak lagi memiliki status pasukan utama di Eropah ketika sidang media sebelum perlawanan - melengkapkan jaringan kemenangan pasukannya, juga menerusi tandukan.

KIMMICH (kanan) jaring gol kedua Bayern. FOTO/AFP

Bayern ketika ini ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Paris Saint-Germain dan mempunyai kelebihan tiga mata berbanding penghuni tangga ketiga, Celtic.

“Bayern mahu layak ke fasa kalah mati, jadi adalah amat penting untuk kami mencari kemenangan,” kata Heynckes. “Pasukan melakukan tugas dengan baik meskipun kami tidak dapat menyudahkan beberapa peluang yang ada.”

Kemenangan itu hadir selepas 1,608 hari sejak kali terakhir Heynckes mengendali Bayern di saingan Eropah, ketika itu menewaskan Borussia Dortmund di pentas final Liga Juara-Juara 2013.

Pengendali berusia 72 tahun itu kembali daripada persaraan selepas Carlo Ancelotti disingkirkan susulan kekalahan memalukan Bayern kepada PSG 3-0, tiga minggu lalu.

Susulan kemenangan 5-0 ke atas Freiburg, Sabtu lalu, Bayern kini sudah meledak lapan gol tanpa balas dalam dua perlawanan pertama dikendali Heynckes.

“Sikap pemain semakin baik, kami lebih bermotivasi selepas kemenangan ke atas Freiburg dan kami mahu meneruskan momentum ini,” kata Mueller.

“Ia tiga mata yang penting. Kami mencipta banyak peluang di babak kedua yang mana kami patut memanfaatkannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 10:01 AM