HAZARD (baju biru) menjaring gol ketiga Chelsea menewaskan penjaga gol Roma, Alisson Becker. FOTO/REUTERS
AFP

LONDON: Eden Hazard muncul penyelamat Chelsea yang melepaskan kelebihan mendahului dengan dua gol untuk sekadar seri 3-3 menentang Roma dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Antonio Conte itu tampak seakan mampu meraih kemenangan selesa di Stamford Bridge susulan jaringan pada babak pertama David Luiz dan Hazard.

Begitupun, Aleksandar Kolarov meledak sebelum rehat babak pertama untuk kembali meningkatkan moral kelab Serie A Itali itu,

Bekas penyerang Manchester City, Edin Dzeko kemudian menyumbat gol untuk menyamakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-64 sebelum menjaringkan gol kedua peribadi enam minit kemudian untuk mendahului.

Begitupun kelebihan itu tidak lama apabila Hazard kembali menyamakan kedudukan lima minit kemudian.


DZEKO (dua dari kanan) ledak gol kedua Roma. FOTO/REUTERS

Keputusan itu menyaksikan Chelsea kekal dengan kelebihan dua mata di atas Roma di tangga teratas Kumpulan C namun prestasi yang dipamerkan jelas menunjukkan juara Inggeris itu sedang dipalit masalah.

Conte sebelum ini dilaporkan berulang kali menyuarakan masalah yang dihadapi pasukannya susulan kekalahan 2-1 dalam kempen Liga Perdana kepada Crystal Palace minggu lalu dengan keputusan menyaksikan The Blues gagal raih kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut.

“Ia perlawanan yang sukar menentang pasukan yang baik. Kami bergelut dalam penguasaan bola dan tidak mudah pada babak pertama sekali pun kami menjaringkan dua gol,” kata Conte.

“Perubahan sistem tidak begitu bagus tetapi apabila kamu berada dalam situasi yang sukar kadang kala kamu perlu memperbaikinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 9:32 AM