NAFIIZWAN (kanan) cedera lutut apabila motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan teksi. FOTO/OWEE AH CHUN.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


CABARAN pemain lelaki negara kini digalas oleh Ivan Yuen, Ng Eain Yow dan Sanjay Singh selepas pemain terbaik, Mohd Nafiizwan Adnan terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia selepas terbabit dalam kemalangan.

Pemain pilihan kedua kejohanan yang kini menduduki ranking ke-29 dunia itu dilaporkan mengalami kecederaan lutut apabila motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah teksi di hadapan kediamannya berdekatan LRT Sri Petaling, semalam.

Nafiizwan sepatutnya turun menentang Eain Yow yang juga juara remaja dunia pada perlawanan pusingan pertama di Arena Nicol David, hari ini.

Penarikan diri Nafiizwan itu menyaksikan Eain Yow berdepan pemain kelayakan yang juga rakan senegara, Addeen Idrakie.

Eain Yow bagaimanapun terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan Addeen dalam pertarungan empat set yang berkesudahan 11-9, 11-13, 13-11, 11-2.

“Tugas memburu kejuaraan kini digalas oleh kami bertiga selepas ketiadaan Nafiizwan.”

“Saya harap kami berjaya membawa cabaran negara hingga ke peringkat akhir,” katanya yang akan menentang pemain Mesir, Mazan Gamal di suku akhir esok.

Sementara itu, Ivan melakarkan kemenangan menewaskan pemain berpengalaman dari England Jaymie Haycocks 11-4, 11-9, 11-6, manakala Sanjay menewaskan lawan dari Wales, Peter Creed yang juga pilihan ketujuh, 11-9, 11-5, 11-4.

Kemenangan kedua-dua pemain itu menyaksikan mereka akan bertarung sesama sendiri pada suku akhir di gelanggang kaca Arena Nicol David, esok.

Kali terakhir Terbuka Malaysia dipertandingkan dua tahun lalu yang menyaksikan pemain Mesir, Mohd El Shorbagy muncul juara selepas menewaskan pemain Hong Kong, Max Lee.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 9:59 PM