ZAWAWI (kiri) mengekalkan jersi kuning di peringkat ke-2 Tour Of Selangor 2017 dari Shah Alam ke Dengkil. FOTO/OSMAN ADNAN
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


PELUMBA Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman lega apabila masih mampu mengekalkan tiga jersi utama Tour de Selangor 2017 walaupun menamatkan perlumbaan peringkat kedua pada kedudukan ke-42.

Dia mengumpul lima jam 51 minit 39 saat untuk mengungguli jersi kuning selaku pendahulu individu keseluruhan dan meninggalkan pencabar terdekat Nik Mohd Azwan Zulkifle dari PDRM dengan perbezaan 11 saat.

“Laluan hari ini paling panjang dan mencabar. Rakan sepasukan berkerja keras untuk mengekalkan jersi kuning yang menjadi sasaran kami.”

“Terdapat pemecahan berlaku membabitkan 20 pelumba ketika perlumbaan sudah berlangsung 40 kilometer, namun akhirnya peloton berjaya ‘menangkap’ ketika berbaki 10 kilometer untuk membolehkan saingan berakhir dalam kelompok besar.”

“Tekanan memang tinggi dan mendebarkan kerana ini peringkat terpanjang dan semua pasukan mencari peluang untuk merampas jersi kuning,” katanya.

Dia meraih jersi kuning, Raja Pecut (biru) dan Bukit (merah) selepas memenangi peringkat pertama di Bukit Malawati, Kuala Selangor semalam.

“Keutamaan adalah jersi kuning namun jika berpeluang saya akan mempertahankan jersi biru dan merah,” tambahnya.

Bagi kategori Raja Pecut, Zawawi kini mendahului 25 mata dengan pemenang peringkat kedua, Mohd Elmi Jumari hanya dibezakan lima mata diikuti Nik Azwan mengumpul 15 mata.

Manakala bagi kategori Raja Bukit, dia mengumpul enam mata selepas tidak meraih mata di zon pendakian hari ini.

Jersi pelumba muda terbaik kekal milik Muhd Nur Aiman Mohd Zariff dengan masa 5.52:17s. Peringkat ketiga perlumbaan akan diteruskan esok dari Dataran Kemerdekaan Shah Alam ke bangunan Majlis Perbandaran Ampang Jaya sejauh 110km berbaki 78 pelumba dari 15 pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 9:06 PM