SKUAD SJN FC (jersi merah) bersama barisan pemain Malacca Elite bergambar sebelum aksi persahabatan di Stadium Hang Tuah, kelmarin.
Nazri Abu Bakar

Melaka: Pasukan bekas pemain Sarawak SJN FC berjaya mengikat skuad bekas pemain Melaka (Malacca Elite ) dengan keputusan 3-3 pada aksi persahabatan di Stadium Hang Tuah, kelmarin.

Penyelaras Malacca Elite, Ayob Alias berkata kehadiran skuad pelawat antaranya bertujuan bertemu rakan lama dalam pasukan yang pernah bersaing di Liga Malaysia sebelum ini.

Katanya, skuad berkenaan turut mengadakan dua perlawanan di Kluang dan Johor Bahru dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim antara bebas pemain berkenaan.

Menurutnya, antara bekas pemain Sarawak yang beraksi termasuk Samsul Napiah , Razak Ismail, Zulkarnein Poasa selain Zakariato Gobil , Jali Mohamad Jalil , Sepawi Jepon dan Zamaludin Majidi.

Beliau berkata, tuan rumah turut diwakili bekas pemain yang pernah beraksi untuk Sarawak era 90-an termasuk Samsurin Abd Rahman, Azizan Baba, Mohd Noor Derus, Mazlan dan Sapian Wahid.

“Selain itu , tuan rumah turut diwakili bekas pemain skuad Hang Tuah termasuk Fauzi Kasim , Hanafiah Maidin, dan Rashid Mahmud yang berjaya memberi saingan kepada pelawat yang dilihat memiliki sentuhan yang masih berbisa.

“Perlawanan berkenaan juga memberi impak terhadap penyertaan bekas pemain dalam menyemarakkan sokongan kepada pembangunan bola sepak negara dengan mengetengahkan kemahiran yang boleh memberi panduan kepada pemain muda,”katanya.

Ayob berkata, ramai bekas pemain yang beraksi turut terbabit dengan projek pembangunan bola sepak akar umbi termasuk sebagai jurulatih skuad Piala Presiden,Piala Belia selain membimbing pasukan kelab dan skuad liga di negeri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 11:18 AM