JESUS (kiri) jaring gol keempat City ketika berdepan Stoke. -Foto AFP
AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola percaya Manchester City menghasilkan persembahan terbaik di bawah kendaliannya ketika membelasah Stoke City 7-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Kevin De Bruyne sekali pun tidak menjaringkan gol namun tampil dengan prestasi menakjubkan apabila membuat dua umpanan dan memainkan peranan bagi tiga lagi jaringan City yang meledak tujuh gol buat kali pertama sejak Guardiola tiba pada Julai 2016.

Ini kali pertama City merekodkan jumlah gol yang banyak dalam kempen liga sejak menewaskan Norwich 7-0 pada November 2013.

Penyerang muda Brazil, Gabriel Jesus cemerlang meledak dua gol diikuti jaringan Raheem Sterling, David Silva, Fernandinho, Leroy Sane dan Bernardo Silva.

Kemenangan itu memberikan City kelebihan dua mata di puncak liga dan meninggalkan Guardiola sukar untuk mengkritik pasukannya sekali pun kecewa melepaskan dua gol pada kedua-dua babak permainan menerusi Mame Biram Diouf dan jaringan sendiri Kyle Walker.

“Kamu sentiasa mampu melakukan lebih baik tetapi saya tidak menafikan yang hari ini adalah persembahan terbaik sejak saya tiba di sini,” kata Guardiola yang sebelum ini membimbing Barcelona dan Bayern Munich.

“Kami bermain dengan bagus sepanjang 45 minit dan mungkin lebih daripada itu.

“Kecuali dua tindakan yang membuatkan kami dapat belajar mengenainya, kami menampilkan persembahan yang amat baik daripada semua orang.

“Selepas rehat antarabangsa, ia boleh menjadi sedikit sulit tetapi kami benar-benar beraksi dengan baik. Jadi kami bermain dengan pantas kerana kami bermain dengan mudah.

“Saya amat gembira kerana kami menang terutamanya dengan cara kami menang.”

Prestasi De Bruyne menghadirkan pujian daripada Guardiola dan pengurus Stoke, Mark Hughes yang menggambarkan pemain tengah Belgium itu sebagai pemain terbaik di EPL ketika ini.


GUARDIOLA (kanan) memberi arahan kepada Yaya Toure. -Foto Reuters

“Kevin tidak menjaringkan gol hari ini tetapi dia adalah pemain yang amat dinamik. Dia memahami permainan. Secara normal, pemain seperti ini tidak perlu menjadi agresif, memenangi bola dan membuatkan hantaran yang betul,” katanya.

“Selepas itu, apabila dia mendapat bola dalam posisi yang hampir di kawasan penalti, pemain sayap, penyerang dan pemain tengah menyerang akan bergerak kerana mereka tahu bola akan tiba.

“Dia pemain yang berbakat dan dia menghasilkan prestasi yang baik hari ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 3:18 PM