NAZLEE Khalifah
Zatul Iffah Zolkiply
sukan@hmetro.com.my

Kerteh: Pemilihan Kerteh sebagai lokasi Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 memberi peluang kepada Kumpulan Affin Bank memperkenalkan bank berkenaan kepada penduduk di sekitar daerah ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad Nazlee Khalifah berkata, hanya terdapat dua cawangan Affin Bank di Terengganu iaitu di daerah Kuala Terengganu dan Kemaman.

“Secara keseluruhan, kami mempunyai 107 cawangan di seluruh negara namun hanya dua cawangan di Terengganu dan apabila Harian Metro (HM) memilih Kerteh sebagai lokasi HMMTB, ia peluang terbaik sebab kami tiada cawangan di sini.

“Sedikit sebanyak, penganjuran HMMTB di kawasan Kerteh boleh mendedahkan penduduk mengenai perkhidmatan yang ditawarkan kami seterusnya memikirkan keperluan untuk membuka sebuah lagi cawangan di negeri ini,” katanya ketika ditemui sempena Kejohahan HMMTB di Sekolah Kebangsaan (SK) Kerteh dekat sini.

Mengulas mengenai kejohanan HMMTB, Nazlee berkata, pihaknya teruja apabila menjadi sebahagian daripada penganjuran kejohanan yang mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Katanya, selain kejayaan HM dalam melaksanakan beberapa program sebelum ini, penyertaan pihaknya dalam HMMTB sebagai tanda sokongan Affin Bank terhadap aktiviti sukan lasak.

“Kami sedia menyokong apa saja usaha HM bagi mengadakan acara atau program yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

HMMTB mendapat kerjasama daripada Affin Bank Group sebagai penaja utama selain beberapa rakan penaja lain seperti Honda Malaysia Sdn Bhd, Polygon, Deuter, Demak, Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, Julies Biscuits, Mamee Double-Decker, Isuzu Malaysia, Asus Malaysia dan Resort World Kijal.

Turut memberi kerjasama adalah Majlis Perbandaran Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, SK Kerteh, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Syarikat Air Terengganu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kesihatan Daerah Kemaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 11:45 AM