ADVOCAAT (kiri) optimis pemainnya mampu tewaskan Sweden dengan jaringan 7-0. FOTO/AFP
AFP

AMSTERDAM: Melainkan Belanda mampu menumpaskan Sweden dengan perbezaan tujuh gol awal pagi Rabu ini, pencetus permainan cantik itu akan tersingkir daripada pusingan akhir Piala Dunia 2018.

Sesudah terlepas aksi Euro 2016, Belanda menghuni tangga ketiga Kumpulan A dan boleh layak ke play-off hanya menerusi kemenangan besar ke atas pasukan tangga kedua Sweden susulan permulaan hambar awal kempen mereka.

Jurulatih Dick Advocaat, yang mengambil alih daripada Danny Blind sejak empat perlawanan terakhir, tidak bercadang mengaku kalah.

“7-0 satu kemungkinan,” katanya.

“Sweden membelasah Luxembourg 8-0 jadi kenapa tidak kami melakukannya ke atas mereka,” ujarnya.

Pemain sayap veteran Bayern Munich, Arjen Robben bagaimanapun lebih realistik.

“Ia sudah berakhir,” katanya. “Secara matematik sudah tentu masih boleh, tapi kami memerlukan keajaiban.”

Keajaiban itu pula perlu dicapai tanpa pemain berusia 33 tahun, Wesley Sneijder, yang menjadi tunjang kejayaan mereka sebelum ini namun prestasi semasanya tidak memuaskan hati Advocaat.

“Secara peribadi, saya lebih suka jika dia ada di sini,” kata Robben, “tapi jurulatih yang membuat keputusan.”

Robben, Sneijder dan Robin Van Persie mengemudi kejayaan Belanda layak ke final 2010 di Afrika Selatan sebelum tewas tipis kepada Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 10:19 PM