DURAKOVIC (tengah) harap pemainnya tidak mengalami kecederaan sepanjang aksi bersama Harimau Malaya.
Azizan Hashim
bhsukan@bh.com.my


JURULATIH Perak, Mehmet Durakovic berharap Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrom Abdul Kalam, Nazirul Naim Che Hashim dan Amirul Azahan Azanan kembali ke pangkuan pasukan dalam keadaan cergas 100 peratus.

Menurutnya, empat pemain terbabit yang kini bersama skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia (AFC) 2019, esok adalah calon automatik untuk menggalas tugas apabila Perak melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pertembungan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, Ahad ini.

“Sudah tentu mereka berada dalam kesebelasan utama dengan syarat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Durakovic juga yakin mereka mampu memikul tugas dengan berkesan biarpun sudah lama tidak berlatih bersama pasukan.

“Mereka sudah bermain dan berlatih bersama hampir setahun.

Jadi, tidak timbul masalah menyesuaikan diri bila kembali menyertai pasukan,” katanya.

Jurulatih itu berkata, persiapan pasukan tetap berjalan lancar dengan baki pemain yang ada dan pihaknya memanggil pemain muda dari skuad simpanan bagi mencukupkan bilangan pelatih semasa latihan.

“Tiada masalah berlatih kerana ada cukup pemain,” katanya yang mengakui berbangga dengan pemilihan empat pemain terbabit mewakili skuad Harimau Malaya dan mendoakan kejayaan skuad Nelo Vingada dalam aksi hidup mati menentang Hong Kong itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 9:22 PM