HARIMAU Malaya berlatih untuk menghadapi Hong Kong, esok.
Firdaus Hashim di Hong Kong
firdaushashim@hmetro.com.my


SKUAD Harimau Malaya mungkin terpaksa beraksi tanpa penyerang pada aksi hidup mati saingan Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Hong Kong di Stadium Hong Kong, malam esok.

Pengendali kebangsaan, Nelo Vingada memberi bayangan itu susulan kecederaan yang menimpa penyerang tunggal, Darren Lok selepas dua lagi penyerang iaitu Ahmad Hazwan Bakri dan Muhammad Shahrel Fikri tidak dibawa ekoran masalah kecederaan.

Malah, tekanan makin memuncak di wajah Vingada apabila tonggak tengah bertahan, Kiko Insa turut mengadu kesakitan ketika menjalani sesi latihan, semalam.

“Darren mengalami kecederaan ringan di pangkal peha yang menyukarkan sedikit pergerakannya terutama ketika mahu membuat percubaan atau larian deras.

“Begitu juga dengan Insa yang memaklumkan kepada pegawai perubatan pasukan dia merasai kesakitan di bahagian betis.

Kecederaan Insa adalah kecederaan lama ketika dia bersama Pahang.”Jadi, apa pilihan yang ada pada saya waktu ini.

Mungkin kita akan bermain strategi berbeza tanpa penyerang tulen dan mengharapkan Safiq (Rahim) dan Baddrol (Bakhtiar) untuk menyerang dari tengah.

“Namun, ia terlalu awal untuk ditentukan kerana masih mempunyai masa sehari lagi.

Semuanya bergantung kepada tahap kecederaan Darren dan Insa sebelum aksi bermula,” katanya pada sidang media pasukan di Stadium Hong Kong, hari ini.

Malaysia kini menduduki tangga tercorot kumpulan dengan mengumpul satu mata daripada dua perlawanan.

Pada aksi pertama 13 Jun lalu, anak buah Vingada gagal memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 kepada pendahulu kumpulan, Lubnan di Stadium Larkin, Johor.

Aksi lebih tersusun ditampilkan pemain dalam aksi kedua menentang Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 September lalu dengan kedua-dua pasukan meraih satu mata selepas terikat 1-1.

Justeru, kemenangan ke atas Hong Kong begitu penting buat skuad negara bagi membuka semula peluang untuk bersaing merebut dua tempat terbaik sekali gus mara ke pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu (UAE) tahun depan.

“Walau apapun strategi yang bakal digunakan, saya tetap percaya dengan peluang kita mengutip mata di sini. Pemain sudah berkerja keras dalam latihan beberapa hari ini dan mereka akan berikan sepenuh komitmen malam esok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 8:30 PM