PEMAIN Belgium, Thomas Meunier (kiri) mengekang pemain Bosnia, Haris Duljevic. FOTO/REUTERS
Reuters

SARAJEVO: Belgium bangkit daripada ketinggalan untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dengan kemenangan 4-3 ke atas Bosnia, awal pagi tadi.

Kemenangan Belgium itu mula menimbulkan keraguan buat penyokong Bosnia untuk melihat negara Balkan berkenaan layak ke pusingan akhir di Russia tahun depan.

Belgium sudah pun layak selaku juara Kumpulan H selepas mengutip 25 mata daripada sembilan perlawanan manakala peluang Bosnia untuk ke aksi playoff kini seakan tipis.


PENJAGA gol Belgium, Thibaut Courtois (dua dari kiri) gagal menampan bola rembatan pemain Bosnia. FOTO/AFP

Terdahulu, pemain sayap Belgium, Thomas Meunier memastikan jaringan kelima peribadinya dalam enam perlawanan ketika membuka jaringan perlawanan seawal minit keempat.

Tetapi Bosnia kembali memberi tekanan untuk mendahului Belgium dalam tempoh 45 minit pertama selepas meraih dua gol menerusi Haris Medunjanin dan Edin Visca.

Aksi bersambung, Michy Batshuayi kembali menyamakan kedudukan sebelum Verthongen meledak gol ketiga Belgium.

Minit ke-82, pertahanan Bosnia, Dario Djumic kembali menghidupkan harapan pasukannya untuk sekali lagi menjadikan aksi kembali seimbang.

Sebaliknya ia hanya bertahan seminit apabila Yannick Carrasco memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan untuk meledak gol keempat buat Belgium.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 12:38 PM