Shahidan (tengah) mempengerusikan mesyuarat khas ASUM di Hotel Seri Pacific, semalam.
Mohd Khairie Khalid
khairie@bh.com.my


Kuala Lumpur: Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) menerusi Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan seorang atlet terjun wanita negara yang gagal ujian doping ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu mengambil bahan terlarang jenis sibutramine.

Shahidan berkata, badan induk itu juga sudah menghubungi atlet terbabit dan dia bersetuju membuka sampel B serta sudah melakukan permohonan secara langsung kepada Jawatankuasa Anti Doping Sukan SEA 2017.

“Untuk makluman, Panel Disiplin ASUM mengadakan mesyuarat hari ini bagi membincangkan dua kes yang berlaku ketika ini. Pertama kes doping yang membabitkan seorang atlet ASUM, iaitu atlet dalam kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

“ASUM sudah menerima surat daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), memaklumkan akan keputusan ujian doping atlet terbabit yang dikesan positif sibutramine dari ujian doping dijalani di KL2017 lalu. Pihak ASUM sudah menghubungi atlet terbabit dan buat masa ini dia sudah meminta sampel B diuji,” kata Shahidan pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama Panel Disiplin ASUM di Hotel Seri Pacific, semalam.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, hingga sampel B diuji, selaras dengan peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), nama serta pengenalan mengenai individu itu tidak boleh didedahkan.

Berikutan itu, Shahidan menegaskan yang ASUM juga tidak boleh mengambil sebarang tindakan lanjut sehingga Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) membuat keputusan.

Mengenai kes gangguan seksual membabitkan seorang jurulatih pasukan terjun kebangsaan kepada salah seorang atlet, Shahidan berkata, ASUM tidak boleh mengulas lanjut malah tidak dapat membincangkan kes terbabit kerana ia masih di bawah siasatan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 3:54 AM