PESERTA bergambar kenangan sebaik menamatkan kayuhan di Menara Kembar Bank Rakyat.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seramai 63 peserta Kembara Kasih Bank Rakyat 2017 menamatkan kayuhan berbasikal sejauh 515 kilometer (KM) yang bermula dari Kangar, Perlis hingga ke lokasi terakhir di Menara Bank Rakyat, di sini, Sabtu lalu.

Peserta yang terdiri daripada kakitangan bank itu memulakan kayuhan pada 26 September yang menyaksikan mereka menjelajah beberapa daerah termasuk Seberang Jaya, Manjung, Kuala Selangor, Shah Alam dan mengakhiri kayuhan di Kuala Lumpur.

Menurut Naib Presiden Kanan, Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani, program yang julung kali dianjurkan itu bersempena sambutan ulang tahun Bank Rakyat kali ke-63.

Katanya, program berkenaan bukan saja membabitkan aktiviti kayuhan basikal semata-mata, malah para peserta turut menjalankan beberapa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama kanak-kanak autisme.

NIZAM (tengah) bersalaman dengan Irwandi.

“Program diadakan bersempena ulang tahun ke-63 Bank Rakyat selain satu daripada program CSR kami.

“Ia diadakan bagi mendekatkan diri dengan masyarakat serta meraikan kanak-kanak autisme di beberapa perhentian kayuhan. Mungkin tak semua pihak menyedari kehadiran kanak-kanak istimewa ini.

“Jadi, kami tampil bukan saja memberi sumbangan bahkan turut mahu mendidik mereka di luar sana bagaimana untuk menghargai anak-anak autisme ini daripada terpinggir,” katanya.

Sepanjang kayuhan, peserta akan singgah di beberapa lokasi untuk menyertai terapi basikal untuk kanak-kanak autisme dan juga sesi penyerahan basikal kepada sekolah dan persatuan autisme.

Sebanyak 63 hamper dan baucar hari lahir turut dihadiahkan kepada kanak-kanak yang dilahirkan pada 28 September lalu serta pemberian sumbangan hamper kepada pesakit wad pediatrik di Hospital Sri Manjung, Perak sebagai simbolik sambutan ulang tahun Bank Rakyat.

Turut hadir menyambut peserta berkenaan ialah pemenang dua pingat emas Sukan SEA KL2017 dalam acara scratch lelaki dan kuartet 4 KM kejar mengejar Ogos lalu, Irwandie Lakasek.

“Kita bertuah kerana pelumba negara turut bersama-sama dengan peserta kayuhan. Melihatkan sambutan yang hangat ini, Insya Allah kita akan teruskan program seumpama ini dan boleh dijadikan acara tahunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 10:55 AM