NICOL diharap mampu mengulangi kecemerlangan ketika beraksi di Sukan Komanwel nanti. FOTO/ROSLI AHMAD
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


PERSATUAN Raket Skuasy Malaysia (SRAM) masih yakin dengan kemampuan Datuk Nicol David untuk membantu negara menyumbang pingat emas pada temasya Sukan Komanwel tahun depan.

Nicol akan mengetuai cabaran negara ke temasya itu dan menjadi taruhan skuad skuasy mengekalkan pencapaian tiga tahun lalu di Glasgow.

Biarpun dengan prestasi tidak menentu, Nicol masih lagi pemain terbaik negara dan Pengarah Kejurulatihan SRAM Mejar (B) S Maniam berkata, Malaysia akan beraksi dalam lima acara, perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki, wanita dan campuran.

“Harapan untuk pingat emas masih lagi diletakkan kepada Nicol selain pingat dalam acara beregu.

“Bagaimanapun kami tidak terlalu memberi fokus dalam acara beregu kerana ia kurang dipertandingkan di mana-mana pertandingan.

“Justeru perancangan utama adalah memberi peluang kepada semua pemain beraksi sebanyak mungkin dalam acara perseorangan sebagai persediaan untuk menghadapi temasya Komanwel nanti,” katanya.

Tiga tahun lalu Nicol menjadi penyumbang tunggal pingat emas dalam skuasy selepas menewaskan Laura Massaro dari England.

Maniam menegaskan, senarai nama sudah diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selain turut menyenaraikan beberapa muka baru dalam senarai panjang.

Antara pemain yang disenaraikan terdiri daripada Nafiizwan Adnan, Yuen Chee Wern, Ng Eain Yow, Syafiq Kamal, Sanjay Singh Chal, Low Wee Wern, S Sivasangari, Rachel Arnold, Andrea Lee dan Aifa Azman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2017 @ 2:51 PM