CAVANI menafikan khabar angin katanya ditawarkan jutaan euro untuk membenarkan Neymar mengambil sepakan penalti. FOTO/AFP
AFP

CARACAS: Penyerang Uruguay, Edinson Cavani tidak mahu memperbesarkan isu mengambil sepakan penalti dengan rakan sepasukan Paris Saint-Germain, Neymar.

Cavani dan Neymar, pemain paling mahal di dunia, dilaporkan bertelagah mengenai tugas mengambil sepakan penalti buat PSG dalam perlawanan liga baru-baru ini.

Perbalahan itu tercetus beberapa minggu lalu apabila Cavani, pengambil sepakan penalti utama PSG, enggan membenarkan bintang Brazil, Neymar mengambil tendangan penalti menentang Lyon. Dia bagaimanapun gagal menyempurnakan sepakan itu.


CAVANI (dua dari kanan) berlatih bersama Uruguay dalam persiapan menentang Venezuela menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2018. FOTO/AFP

Namun hujung minggu lalu wujud khabar angin Cavani ditawarkan berjuta euro untuk membenarkan Neymar mengambil sepakan penalti. Neymar mengambilnya dan menyempurnakannya ketika menentang Bordeaux.

“Perkara sebegini memang berlaku dalam bola sepak. Perkara ini kadang-kadang sengaja diperbesar-besarkan,” kata Cavani kepada wartawan di Caracas menjelang aksi kelayakan Piala Dunia menentang Venezuela awal pagi Jumaat ini.

“Masalah sudah diselesaikan dalam bilik persalinan. Setiap masalah ada jalan penyelesaian. Ia sudah diselesaikan.”

Di sebalik tidak memikul tugas mengambil sepakan penalti lagi, yang diambil Cavani apabila Zlatan Ibrahimovic meninggalkan PSG setahun setengah lalu, penyerang Uruguay itu masih mengatasi rakan sepasukannya dari Brazil dengan lapan gol berbanding enam dalam Ligue 1 Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 9:47 AM