MBAPPE (kanan) bersama peminat selepas selesai sesi latihan. FOTO/AFP
AFP

CLAIREFONTAINE, Perancis: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps teruja dengan penyerang muda serba boleh Kylian Mbappe ketika Les Bleus kelihatan hampir pasti mengesahkan tiket ke Piala Dunia hujung minggu ini.

Pasukan kendalian Deschamps berdepan Bulgaria dan Belarus dalam dua aksi terakhir kelayakan Piala Dunia, menyedari dua kemenangan akan membantu Perancis menempah tempat ke Russia.

Mbappe sering kali bertindak sebagai penyerang tengah atau sama seperti bekas bintang serangan Perancis, Thierry Henry, di kiri tiga pemain bahagian hadapan dalam karier singkatnya setakat ini.

Namun Deschamps percaya dia juga boleh bermain dengan baik di bahagian kanan, posisinya bersama kelab baru Paris Saint-Germain musim ini.

“Dia melakukan perkara hebat bersama Paris. Dia bermain banyak perlawanan dan dia semakin meningkat sejak aksi cemerlang bersama AS Monaco musim lalu,” ujar Deschamps.


DESCHAMPS (kiri) teruja dengan kehadiran Mbappe. FOTO/AFP

“Dia beraksi lebih di kanan di Paris, sekalipun dia bergerak lebih bebas.

“Dia seorang penyerang, dia boleh bermain baik di tengah, di kiri dan ada keraguan besar mengenai apa yang boleh dilakukannya di kanan, kerana kami jarang melihatnya bermain di situ dan kini kami sedar dia boleh bertindak baik di posisi itu juga.”

Perancis mendahului satu mata di depan Sweden dalam Kumpulan A namun Belanda dan Bulgaria masih berpeluang untuk meraih tempat kelayakan automatik atau play-off sebagai naib juara kumpulan.

Perancis berkunjung ke Bulgaria awal pagi Ahad ini sebelum menanti kehadiran Belarus tiga hari kemudian.

Sebarang kesilapan akan menyebabkan mereka kehilangan tangga teratas terutamanya apabila Sweden menanti kunjungan Luxembourg awal pagi Ahad ini yang mana tiga mata menjadi jangkaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 3:32 PM