HARRIF (kiri) bersama Noraidiazhar Sulaiman (tengah) ketika sidang media Jelajah Malaysia 2017.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Shah Alam: Kegusaran pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd Harrif Salleh berhubung wang kemenangan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 dan Jelajah Malaysia 2016 (JM2016) mendapat reaksi positif pihak berwajib.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Wahab menjelaskan, pengurus acara LTdL 2017, Ciclista Sports Sdn Bhd sudah menghubunginya berhubung perkara ini.

“Pengurus acara itu memaklumkan mereka baru menyelesaikan bayaran kepada TSG dan skuad kebangsaan tadi. Mereka sudah mendapat wang kemenangan berjumlah RM500,000, jadi bayaran pasukan lain akan dibuat dari masa ke semasa,” jelas Abu Samah selepas majlis pengenalan pelumba di Jelajah Malaysia 2017 (JM2017), semalam.

Edisi 2017 LTdL berlangsung pada 22 Februari pada 1 Mac lalu dengan menawarkan hadiah kemenangan berjumlah RM947,400 secara keseluruhan.

“Pengurus acara dilantik Kementerian Belia dan Sukan (KBS), jadi KBS juga perlu bertanggungjawab terhadap perkara ini. Seharusnya dalam tempoh 90 hari pastikan bayaran sudah diselesaikan,” tambahnya.

Sementara itu, mengenai bayaran JM2016, Abu Samah menjelaskan pihaknya sudah menghantar surat kepada pengurus acara, Peloton Resources Sdn Bhd agar memberikan butiran terperinci.

“Kami masih belum mendapat butiran terperinci terutamanya bagi pasukan luar negara seperti akaun bank pemenang secara lengkap. Jadi kita berharap mereka dapat memberikan maklumat yang diperlukan bagi kami menyelesaikan bayaran kepada pemenang.

“Jadi bagaimana kami mahu memberikan wang kemenangan jika tidak dibekalkan dengan maklumat yang lengkap walaupun duit sudah tersedia untuk diedarkan,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 7:22 AM