HARRIF yakin pelumba tempatan ambil peluang ketiadaan pasukan Pishgaman Cycling Team.
Azlan Muhammad Zain dan Fadhli Ishak
sukan@hmetro.com.my


PELUANG buat pelumba tempatan untuk menyerlah pada perlumbaan Jelajah Malaysia 2017 (JM2017) semakin terbuka apabila juara bertahan dari Iran, Pishgaman Cycling Team sah menarik diri.

Perkembangan itu dimaklumkan penganjur perlumbaan, LifeProFit Sdn Bhd dengan pasukan dari Korea Selatan, KSPO yang dibarisi juara kategori pecut edisi 2016, Park Sung Baek turut mengesahkan tidak akan bersaing kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LifeProFit, Noraidiazhar Sulaiman menjelaskan kelab dari Iran yang mendominasi edisi 2016 dengan memenangi kategori individu keseluruhan dan bukit itu mengalami masalah penerbangan manakala KSPO bertanding di perlumbaan lain dengan pihaknya dimaklumkan minggu lalu.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Salleh bagaimanapun melihat ketiadaan dua pasukan itu secara positif terutamanya kepada pelumba tempatan.

“Ketiadaan mereka akan dirasai namun peluang bagi pelumba tempatan untuk meraih kemenangan kini lebih baik. Peluang kini terbuka untuk pasukan lain melakar kejutan.

“Saya sendiri akan cuba memastikan mampu menjuarai kategori pecut selepas berada di kedudukan kedua tahun lalu.

“Namun saya turut perlu berwaspada terhadap pasukan lain seperti Oliver’s Real Food Racing dari Australia. Mereka pasukan yang bagus dan ternama di sana,” katanya pada sidang media sebentar tadi.

Selain TSG, pasukan tempatan yang menggalas cabaran negara pada edisi ke-53 itu adalah Team Sapura Cycling (TSC), skuad kebangsaan serta tujuh pasukan berstatus kelab.

Manakala pasukan ternama lain adalah seperti Aisan Racing Team (Jepun), 7 Eleven Roadbike Philippines (Filipina) dan KFC Cycling Team (Indonesia).

Edisi ke-53 perlumbaan tahun ini membabitkan 18 pasukan akan menyaksikan lima peringkat bermula di Shah Alam esok merentasi Perak serta berakhir di Kedah Sabtu ini sejauh 679.9 kilometer.

Perlumbaan berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia itu dijangka sengit apabila pelumba melakukan pendakian pada ketinggian 1,217 meter (berstatus hors) menuju ke puncak Gunung Jerai pada peringkat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 3:06 PM