OCAMPOS (kanan) jaring gol ketiga Marseille.
AFP

PARIS: Marseille yang beraksi 10 pemain melonjak ke tangga ketiga Ligue 1 selepas Lucas Ocampos meledak dua gol membantu kemenangan 4-2 ke atas musuh dari Mediterranean, Nice, awal pagi tadi.

Dalam babak pertama yang menghiburkan, Marseille bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mendahului 3-2 ketika rehat.

Mario Balotelli memecah kebuntuan dengan tandukan jarak dekat susulan sepakan sudut Pierre Lees-Melou selepas hanya empat minit manakala Jean Michael Serri menggandakan kelebihan Nice dengan rembatan yang tertampan dari luar kotak penalti.

Ocampos meraih gol pertamanya sebelum setengah jam apabila merembat masuk dari jarak dekat selepas pertahanan Nice gagal menangani satu hantaran silang.

Lima minit sebelum rehat Lees-Melou tertampan masuk hantaran silang Florian Thauvin ke dalam golnya sendiri.


GUSTAVO (kanan) dilayangkan kad merah kerana terjahan keras terhadap Lees-Melou. FOTO/AFP

Pada minit akhir babak itu, Nice sekali lagi dirobek ketika kapten Dante mengeluarkan bola dan penjaga gol Yoann Cardinale menumbuk lemah percubaan Luiz Gustavo sebelum ditanduk masuk Ocampos melepasi garisan.

Dua minit babak kedua bersambung, satu lagi kesilapan memberi ruang kepada Gustavo yang disudahkan pemain Brazil itu ke penjuru gol.

Pada pertengahan babak kedua bagaimanapun Gustavo dilayangkan kad merah kerana terjahan keras terhadap Lees-Melou.

“Ia kemenangan hebat, kami membuktikan kami mempunyai karakter,” kata Ocampos. “Kami mahu menunjukkan kekalahan 1-6 kepada AS Monaco hanya satu nahas, ia tidak adil.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 12:41 PM