PEMAIN Bayern meraikan gol Hummels (tengah). FOTO/AFP
AFP

BERLIN: Bayern Munich sekali lagi mensia-siakan kelebihan dua gol sebelum seri 2-2 di Hertha Berlin awal pagi tadi dalam perlawanan pertama mereka sejak pemecatan mengejut Carlo Ancelotti sekali gus merudum lima mata di belakang pendahulu Borussia Dortmund.

Ketika Willy Sagnol menjadi pengendali sementara selepas pemecatan Ancelotti Khamis lalu, Bayern mendahului 2-0 di Stadium Olimpik menerusi Mats Hummels (m-10) dan Robert Lewandowski (m-49).

Namun Berlin bangkit dengan dua gol dalam tempoh lima minit sumbangan Ondrej Duda (m-51) dan Salomon Kalou (m-56) untuk berkongsi satu mata.

“Ia agak menggusarkan kami,” kata Sagnol, yang mana pasukannya melonjak ke tangga kedua.

“Kami perlu bermain dengan penuh tumpuan dan berdisiplin.


KALOU (dua dari kiri) menjaringkan gol kedua Hertha. FOTO/AFP

“Apabila kami tidak fokus, kami bukannya lagi pasukan terkuat di Jerman,” akui jurulatih dari Perancis itu.

Bayern mensia-siakan kelebihan dua gol dalam dua aksi liga berturut-turut selepas dipaksa seri 2-2 di laman sendiri oleh Wolfsburg 10 hari lalu.

Ancelotti dipecat selepas 15 bulan mengendalikan kelab itu berikutan kekalahan 0-3 Bayern di tangan Paris Saint-Germain dalam aksi Liga Juara-Juara di Paris.

Bos Hoffenheim berusia 30 tahun, Julian Nagelsmann dan bekas jurulatih Dortmund, Thomas Tuchel antara calon pilihan mengambil alih jawatan itu secara tetap.

Sagnol bertindak balas berikutan pemecatan Ancelotti dengan menurunkan penyerang Thomas Mueller, Franck Ribery Arjen Robben dan Lewandowski dalam kesebelasan utama.

Empat pemain itu mengkritik kelab sejak beberapa minggu lalu, memainkan peranan merendahkan martabat Ancelotti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 11:51 AM