GUARDIOLA (kiri) yakin anak buahnya mampu serap pelbagai tekanan lawan.
AFP

LONDON: Bagi Pep Guardiola, kemenangan 1-0 Manchester City ke atas juara Liga Perdana Inggeris, Chelsea satu petanda pasukannya kini boleh menggunakan corak permainan mereka menentang pencabar kejuaraan.

Selesa melihat Barcelona dan Bayern Munich kendaliannya menguasai pasukan lawan, Guardiola akhirnya menerima hakikat dalam musim sulungnya di City, mereka ditundukkan pasukan seperti Leicester City dan Everton.

Namun penguasaan penuh ketika menang di Stamford Bridge awal pagi tadi, yang dipastikan menerusi gol bekas pemain Chelsea, Kevin De Bruyne pada minit ke-67, meyakinkan beliau City kini boleh menguasai setiap pertandingan.

“Kami cuba dengan Manchester City untuk meyakinkan kelab bahawa kami boleh pergi ke mana saja dan memperagakan aksi kami dan tidak menunggu apa yang berlaku,” kata Guardiola.

“Sudah tentu anda perlu menyesuaikan diri dengan lawan kerana lawan juga mempunyai kualiti sama seperti anda.

“Tapi untuk menunjukkan pada minit pertama kepada warga di Stamford Bridge bahawa pemain ini hadir untuk cuba memenangi perlawanan, itulah yang saya cuba berikan kepada kelab dan pasukan.

“Saya berpuas hati kerana kami menang dengan cara yang kami cuba lakukan sejak awal perlawanan.”

Sekalipun jurang kemenangan itu tipis berbanding perlawanan terdahulu, penguasaan City dalam perlawanan itu jelas, pemain pertahanan mereka naik ke atas dan menekan Chelsea di bahagian lawan.

Kemenangan itu membantu City kembali mengatasi Manchester United secara perbezaan gol di tangga teratas liga, lima mata di depan Tottenham Hotspur dan enam di depan Chelsea.

Bagaimanapun Guardiola sedar garisan penamat masih terlalu jauh.

“Chelsea menang 13 perlawanan berturut-turut musim lalu. Mereka tidak kalah dan menang kejuaraan liga lebih awal,” katanya.

“Sudah tentu musim ini mereka berdepan sedikit masalah kerana mereka bermain setiap tiga hari. Ia lebih merumitkan bagi semua pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 3:25 PM