DE Bruyne (kanan) mengekang asakan pemain tengah Chelsea,Willian di Stamford Bridge, malam tadi.
AFP

LONDON: Manchester City mengukuhkan kedudukan sebagai pencabar kejuaraan ketika tendangan kencang Kevin De Bruyne membantu kemenangan menakjubkan 1-0 di Chelsea manakala Manchester United kekal mengekori rapat selepas membelasah Crystal Palace 4-0, malam tadi.

Selepas kehilangan status pendahulu Liga Perdana Inggeris di tangan United beberapa jam sebelum itu, City kembali ke puncak carta di depan musuh mereka secara perbezaan gol berikutan gol De Bruyne pada babak kedua.


MORATA (tengah) diasak pemain City, Fabian Delph (kiri) dan Nicolas Otamendi. FOTO/AFP

Pasukan kendalian Pep Guardiola meraikan kemenangan kelima liga berturut-turut dan kelapan berturut-turut dalam semua pertandingan, mengukuhkan keyakinan mereka mampu menyingkirkan juara bertahan Chelsea.

Kekalahan pertama Chelsea sejak hari pembukaan kepada Burnley menyaksikan mereka ketinggalan enam mata di belakang City di tangga keempat.

Di sebalik ketiadaan Sergio Aguero selepas penyerang Argentina itu patah tulung rusuk dalam kemalangan kereta Khamis lalu, City menguasai dan hampir mendahului pada babak pertama apabila Thibaut Courtois menumbuk keluar tandukan Fernandinho.

Chelsea mengalami tamparan apabila penyerang Sepanyol, Alvaro Morata terhincut-hincut pada minit ke-35 dan bergelut untuk mengekang asakan lawan dalam tempoh lama akhirnya mereka tertewas juga pada minit ke-67.

Menyambar hantaran Gabriel Jesus, De Bruyne mara tanpa digugat ke kotak penalti sebelum meledak gol kencang melepasi Courtois bagi gol pertamanya dalam liga musim ini.

“Kami terlalu gembira. Perkara paling penting menang perlawanan ini tapi cara kami bermain terutama babak kedua amat memuaskan. Chelsea tidak boleh bermain dan terpaksa melakukan percubaan jarak jauh,” kata Guardiola.

Bos Blues Antonio Conte berkata: “Ia perlawanan sukar tapi kami sedar City pasukan yang besar. “Kami mencipta peluang tapi tidak menggunakannya. City mempunyai peluang dan menyudahkannya.”

Ketika Romelu Lukaku menjaringkan gol ketujuhnya dalam enam aksi terakhir, United mengekalkan prestasi memberangsangkan.

Pasukan Jose Mourinho kini menang enam perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan.


LUKAKU (kanan) jaring gol ketujuh peribadi. FOTO/AFP

Pasukan tercorot Palace hadir di Old Trafford sebagai pasukan pertama liga utama Inggeris kalah enam perlawanan awal mereka tanpa menjaringkan sebarang gol.

United hanya memerlukan tiga minit untuk memecah kebuntuan apabila Juan Mata meraikan penampilan ke-200 Liga Perdana dengan gol pertamanya musim ini, pemain sayap Sepanyol itu mudah menyempurnakan hantaran lintang Marcus Rashford.

Anak buah Mourinho meledak lagi pada minit ke-35 apabila Ashley Young melakukan hantaran lintang ke penjuru gol bagi membolehkan Marouane Fellaini menampan masuk gol ketiganya musim ini.


FELLAINI (dua dari kanan) menanduk gol untuk United. FOTO/AFP

Fellaini sekali lagi meledak dan pemain tengah Belgium itu menanduk masuk gol gol ketiga United menerusi sepakan percuma Rashford pada minit ke-49.

Pada minit ke-86, Lukaku melengkapkan kemenangan keempat 4-0 United dalam liga musim ini apabila penyerang Belgium itu menyumbat gol ke-11 dalam 10 perlawanan sejak berpindah dari Everton pada pramusim.

“Tiga mata dan persembahan bagus. Kami bermula hebat dan berakhir dengan hebat,” kata Mourinho.

“Kami menggilirkan pemain selepas beraksi dalam Liga Juara-Juara. Mentaliti pemain membolehkan saya melakukannya.

“Momentum bagus dan pemain gembira serta yakin.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 9:24 AM