MBAPPE (kiri) cuba melepasi kawalan pertahanan Bayern David Alaba. - Foto AFP
AFP

PARIS: Kylian Mbappe dipuji sekalipun muncul satu-satunya pemain daripada jentera serangan bintang Paris Saint-Germain yang tidak menyumbat gol ketika menang ke atas kelab gergasi Jerman, Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Dani Alves, Edinson Cavani dan Neymar meledak gol ketika PSG menang mudah 3-0 di Parc des Princes untuk mencatat dua kemenangan dalam dua perlawanan Kumpulan B serta mencerahkan peluang layak ke pusingan 16 terakhir.

Namun Mbappe, dengan kepantasan mengagumkan dan kemahirannya, mencipta jaringan menarik buat Cavani bagi menjadikan kedudukan 2-0 sebelum meninggalkan jauh David Alaba apabila dia mencipta gol Neymar pada babak kedua.

“Kylian berkembang dengan baik. Dia mempunyai bakat besar dan keinginan kuat untuk membantu peningkatan pasukan,” kata jurulatih Unai Emery mengenai pemain berusia 18 tahun itu, yang mendapat tepukan gemuruh 45,000 penyokong tuan rumah di ibu negara Perancis itu apabila dia digantikan oleh Angel di Maria pada lewat perlawanan.

“Idea apabila kami mengikatnya adalah dia akan membantu pasukan meningkat dan pasukan ini juga akan membantunya meningkat. Persembahannya sempurna.”

Pemain remaja Perancis itu hanya membuat penampilan kedua di Parc des Princes sejak tiba dari AS Monaco dengan perjanjian pinjaman pada awalnya dan akan menjadi tetap tahun depan dengan harga mencecah 180 juta euro (RM894 juta) termasuk bonus.

Hanya Neymar, dengan tanda harga 222 juta euro (RM1.1 bilion) lebih mahal dalam sejarah perpindahan pemain bola sepak dan di samping Cavani, PSG dilihat mempunyai jentera serangan yang berpotensi memenangi Liga Juara-Juara.

Namun mereka perlu mengekalkan prestasi semasa dan mengelak ketegangan yang mencemari kemenangan terbaru ke atas Lyon, apabila Cavani dan Neymar berbalah mengenai siapa yang akan mengambil sepakan penalti.

“Harapan terhadap kami terlalu besar, sesuatu yang normal selepas jendela perpindahan,” kata Mbappe. “Ia hanya satu permulaan. Kami mahu memperagakan persembahan bagus menentang pasukan hebat dan kami melakukannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 1:17 PM