MANDZUKIC (kiri) meraikan kejayaan menewaskan Olympiakos. - Foto AFP
HIGUAIN (tengah) buka tirai jaringan Juve pada minii ke-69. - Foto REUTERS
AFP

TURIN, Itali: Gonzalo Higuain menghidupkan semula kempen Liga Juara-Juara Juventus apabila masuk sebagai pemain gantian sebelum membantu naib juara tahun lalu itu menang 2-0 dalam Kumpulan D ke atas Olympiakos, awal pagi tadi.

Anak buah Massimiliano Allegri perlu menyemarakkan semula kempen Eropah mereka selepas kecundang 0-3 kepada Barcelona di Sepanyol dua minggu lalu.

Higuain bertindak balas selepas digugurkan Allegri dengan membuka tirai jaringan selepas 69 minit dan turut menyumbang kepada gol kedua Mario Mandzukic pada minit ke-80 di Stadium Allianz.

Juventus kini di tangga ketiga Kumpulan D yang didahului pasukan tanpa kalah Barcelona namun di belakang Sporting Lisbon - yang tewas 0-1 di laman sendiri kepada kelab Sepanyol itu - menerusi perbezaan gol.

Bagi Olympiakos, kekalahan kedua selepas aksi pertama tumpas kepada Sporting meninggalkan mereka di tangga tercorot.

“Saya membuat pilihan dan Higuain tidak begitu bagus berbanding pemain lain,” kata Allegri mengenai keputusannya meletakkan bintang Argentina itu di bangku simpanan bagi dua perlawanan berturut-turut selepas pertembungan jiran setempat Turin, hujung minggu lalu.

“Tapi anda lihat hari ini dia sudah bergerak secara berbeza. Dia tidak pernah menjadi masalah dan tidak akan mencetus masalah. Dia seorang pemain yang mampu mengubah permainan dan memenangi perlawanan buat kami.

“Petang ini kami bermain dengan corak yang bijak dan bersabar. Mereka bermain dengan baik secara bertahan, mereka menutup ruang. Ia tidak mudah tapi pasukan terkuat menang.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 11:45 AM