IRFAN (kanan) gembira apabila khidmat Kim Swee disambung. - Foto OSMAN ADNAN
Nazri Abu Bakar
sukan@hmetro.com.my


PEMAIN skuad B-22 kebangsaan Irfan Zakaria teruja selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengekalkan Datuk Ong Kim Swee sebagai pengendali pasukan itu.

Baginya, keserasian jurulatih berasal dari Melaka bersama pasukan itu sudah terbukti dengan kejayaan mara ke pusingan akhir Kejohanan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia di China, Januari depan.

Malah kejayaan muncul juara Kumpulan H pada pusingan kelayakan di Thailand sebelum ini diulangi menerusi kemaraan Malaysia ke final Sukan SEA Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Saya gembira apabila khidmatnya disambung dan mengharapkan keserasian pemain di bawah kendalian jurulatih Ong akan terus menyinar pada saingan di China kelak.

“Bagi saya jika terpilih ke China sudah pasti ingin beraksi pada tahap terbaik demi memenuhi misi mencapai kejayaan lebih gemilang pada kejohanan itu walaupun berdepan ujian getir semua lawan yang akan ditemui,” katanya.

Malaysia yang muncul juara kumpulan pusingan kelayakan mara secara automatik bersama lima pasukan naib juara terbaik serta tuan rumah China ke pusingan akhir yang menampilkan 16 pasukan.

Apa yang menarik, Kim Swee dilihat mampu membentuk pasukan itu dengan baik walaupun pada awalnya menghadapi sedikit kesukaran terutama isu pelepasan pemain sebelum ke Thailand.

Irfan berkata, dia akan bersiap sedia dari segi mental dan fizikal menjelang saingan di China sambil mengharapkan persembahan pasukan akan terus konsisten untuk mencipta kejayaan membanggakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 3:08 PM