ZIDANE (kiri) puji sumbangan Bale kepada pasukan. - Foto REUTERS
AFP

DORTMUND, Jerman: Zinedine Zidane memuji penjaring gol Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo, yang menyumbat dua gol ketika menang 3-1 sekali gus membantu Real Madrid akhirnya mencatat kemenangan Liga Juara-Juara di Borussia Dortmund.

Ronaldo meraikan penampilan ke-150 di Eropah dengan dua gol pada babak kedua (minit ke-50 dan 79) selepas gol voli menarik Bale menyaksikan Real mendahului di Signal Iduna Park pada minit ke-18.

Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol sagu hati Dortmund pada minit ke-54 namun kelab gergasi Jerman itu jelas tidak mampu menangani kehebatan penyandang juara Real.

Sesudah turut meledak dua gol menentang APOEL, Ronaldo kini menyumbat empat gol dalam hanya dua aksi Liga Juara-Juara musim ini.

“Saya gembira buat Cristiano... sekali lagi! Saya bangga dengan Ronaldo dan Bale,” tegas Zidane.

Ia kali pertama Dortmund tewas di laman sendiri kepada Real dalam tujuh perlawanan Eropah manakala juara bertahan Madrid kini menjaringkan gol dalam 38 perlawanan Liga Juara-Juara berturut-turut.

“Sukar bermain di stadium ini, kami tidak pernah menang sebelum ini di sini, jadi kemenangan ini penting buat kami dan keseluruhan perlawanan bagus buat kami dari mula hingga tamat,” kata Zidane.

“Kami banyak menguasai pegangan bola, itulah kunci utamanya.

“Dortmund bermain dengan mengagumkan seperti selalu tapi kami berjaya menanganinya dengan baik.”

Dortmund berjaya menyaingi Real dari segi pegangan bola dan 16 percubaan Real ke arah gol dan Zidane mahu melihat lebih banyak peluang disudahkan.

“Kami patut menjaringkan lebih banyak gol. Kami ada peluang untuk menambahnya. Perkara penting adalah menyumbat gol lebih banyak berbanding lawan kami dan itulah yang kami lakukan,” ujar pengendali dari Perancis itu.

Keputusan itu membantu Real mengungguli Kumpulan H, di depan Tottenham Hotspur, yang menewaskan APOEL 3-0 di laman lawan dengan Dortmund di tangga ketiga serta enam mata di belakang Spurs, yang mengalahkan mereka 3-1 di London.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 11:50 AM