DE BRUYNE (dua kiri) jaring gol menakjubkan dari jarak 18 meter. - Foto REUTERS
AFP

MANCHESTER, England: Jaringan mengagumkan Kevin De Bruyne dan gol lewat Raheem Sterling mengekalkan persembahan mantap Manchester City ketika menang 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara ke atas Shakhtar Donetsk, awal pagi tadi.

De Bruyne meledak pada minit ke-49 dengan sepakan menakjubkan dari jarak 18 meter ke penjuru kanan gol Shakhtar selepas larian pantas David Silva berakhir dengan pemain Sepanyol itu mencipta gol pembukaan.

Ia gol pertama pemain Belgium itu musim ini selepas dia diberikan peranan lebih penting di bawah kendalian Pep Guardiola namun penantian itu berbaloi memandangkan kualitinya.

Sekalipun penyerang City, Sergio Aguero gagal menyempurnakan sepakan penalti, gol Sterling pada minit ke-89 dari jarak 10 meter selepas larian dan hantaran silang daripada pemain gantian Bernardo Silva, menyelamatkan maruah pasukannya sekali gus mengutip tiga mata di Eastlands.


STERLING (kanan) pastikan City kutip tiga mata. - Foto AFP

Aguero patut menggandakan pendahuluan dan menyamai rekod kelab 177 gol yang kini dipegang Eric Brooks pada 1930-an, apabila Leroy Sane dijatuhkan oleh Ivan Ordets selepas 71 minit.

Namun tendangan Aguero terlalu dekat dengan penjaga gol Andriy Pyatov yang merebahkan badan dengan bergaya ke sebelah kanannya untuk menafikan percubaan itu.

“Babak pertama kami berdepan sedikit masalah kerana hantaran kami tidak sampai,” kata Guardiola.

“Separuh masa kedua lebih bagus. Banyak pujian buat pemain saya hari ini.

“Malah dalam situasi itu, ketika 1-0, kami masih stabil.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 9:34 AM