BALE (tengah) diraikan rakan sepasukan. - Foto EPA
RONALDO (tengah) ledak dua gol di Signal Iduna Park. - Foto AFP
AFP

DORTMUND, Jerman: Cristiano Ronaldo meraikan perlawanan Eropah ke-150 dengan dua gol ketika Real Madrid menang 3-1 di Borussia Dortmund awal pagi tadi untuk mengungguli kumpulan mereka dalam Liga Juara-Juara.

Ronaldo meledak dua gol pada babak kedua (minit ke-50 dan 79) selepas gol voli menarik Gareth Bale membantu Real mendahului di gelanggang Dortmund, Signal Iduna Park selepas 18 minit.

Kelab Jerman itu bangkit apabila Pierre-Emerick Aubameyang akhirnya menyumbat gol pada minit ke-54 namun tiada ulangan seperti keputusan seri 2-2 antara kedua-dua pasukan di Dortmund tahun lalu.


AUBAMEYANG (dua kiri) mengasak pintu gol Real. - Foto AFP

Ia kali pertama Dortmund tewas di laman sendiri kepada Real dalam tujuh perlawanan Eropah manakala juara bertahan Madrid kini menjaringkan gol dalam 38 perlawanan Liga Juara-Juara berturut-turut.

“Kami sedar selepas beberapa tahun kami akhirnya menang di sini dan inilah harinya,” kata kapten Real, Sergio Ramos, yang bernasib baik tidak memberikan penalti kepada lawan pada babak pertama apabila ulang tayang menunjukkan bola terkena tangannya.

“Ia sukar tapi kami mempamerkan personaliti dan keunggulan.

“Kami berada di landasan yang baik. Kami mahu menemui semula prestasi terbaik dan saya fikir malam ini satu langkah ke arah yang betul.”

Keputusan itu membantu Real menduduki tangga teratas Kumpulan H di depan Tottenham Hotspur yang menewaskan APOEL 3-0 di laman lawan, dengan Dortmund di tangga ketiga dan enam mata di belakang Spurs, yang menewaskan mereka 3-1 di London.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 9:21 AM