WENGER (tengah) berang jadual padat paksa Arsenal bermain tiga perlawanan dalam tempoh hanya tujuh hari. - Foto AFP
AFP

LONDON: Arsene Wenger mengkritik jadual padat yang memaksa Arsenal bermain tiga perlawanan dalam tempoh hanya tujuh hari.

Pasukan Wenger menang mudah 2-0 ke atas West Bromwich Albion dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi susulan dua gol Alexandre Lacazette di Stadium Emirates.

Namun Wenger dan pemainnya tidak mempunyai masa untuk meraikan kejayaan itu sebelum mereka berlepas menaiki penerbangan ke Belarus bagi pertembungan Liga Europa menentang Bate Borisov awal pagi Jumaat ini.

Sebaik perjalanan memenatkan itu berakhir, Arsenal mempunyai hanya 48 jam untuk pulih sebelum mereka dijadual melayan kunjungan Brighton dalam satu lagi aksi penting Liga Perdana, Ahad ini.


PEMAIN Arsenal akan menentang Bate Borisov awal pagi Jumaat ini bagi pertembungan Liga Europa. - Foto REUTERS

Wenger kecewa dengan cara perancang jadual Liga Perdana yang menurut permintaan penyiar televisyen tanpa mengambil kira kesannya terhadap pemain.

Ditanya jika beliau akan menurunkan pasukan lemah menentang Borisov dalam pertandingan kelas kedua Eropah itu, Wenger berkata: “Saya mempunyai keputusan untuk dibuat. Ketika ini boleh saya katakan jadual agak kejam terhadap kami.

“Kami bermain malam Isnin, kami bermain di Borisov pada Khamis dan kami bermain pada pagi Ahad.

“Kami terpaksa menerimanya, tapi saya akan memilih pasukan senior dan merehatkan pemain muda.

“Tiada guna bercakap kepada Liga Perdana kerana televisyen yang menentukannya.

“Bagi memilih pasukan ia memberi kesan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 9:46 AM