MATTHEWS (kanan) terpaksa berpuas hati raih gangsa. - Foto EPA
AFP

BERGEN, Norway: Pelumba Australia, Michael Matthews menyesali kesilapan taktikal apabila dia terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dalam acara lebuh raya Kejohanan Dunia yang dimenangi tiga tahun berturut-turut oleh Peter Sagan.

Matthews gagal mencabar Sagan dan pemenang pingat perak Alexander Kristoff dalam penamat pecut perlumbaan sejauh 267.5km di Bergen semalam dan selepas itu mengakui dia melakukan kesilapan ketika pusingan terakhir daripada 12 pusingan di sekitar litar jalanan itu.

Aksi pendakian sekitar 15km sebelum penamat menyaksikan pelumba Perancis, Julian Alaphilippe dan Gianni Moscon dari Itali melakukan pemecahan namun kedua-duanya terperangkap sebelum garisan penamat.

Matthews juga cuba melakukan serangan ketika pendakian dan menyatakan kekesalannya berikutan tindakan itu.

“Apa yang akan saya ubah saya tidak akan menyerang banyak kali dalam pendakian terakhir,” kata pelumba berusia 26 tahun itu, dikenali sebagai ‘Bling’ kerana kehidupan mewahnya.

Apabila menuju ke pecutan terakhir, Kristoff lebih mula meluru namun Sagan berjaya dan mempunyai kekuatan mencukupi untuk memecut melepasi pelumba Norway itu sekali gus melakar kemenangan menerusi penamat foto.

Kemenangan Sagan membantunya melupakan kekecewaan disingkirkan daripada Tour de France Julai lalu selepas menyiku pencabar Mark Cavendish ketika penamat getir peringkat keempat.

“Tour de France tidak pernah berada dalam fikiran saya, ia tidak menggembirakan tapi saya berlumba dalam kejohanan dunia hari ini, ia berbeza,” kata pelumba Slovakia itu.

“Saya menang dua kali (sebelum ini), saya berada di sini bagi kejohanan dunia.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 12:28 PM