LUKAKU (tengah) jaring gol tunggal perlawanan. - Foto EPA
AFP

SOUTHAMPTON, England: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho (gambar kecil) menyatakan terlalu awal untuk bercakap mengenai cabaran kejuaraan Liga Perdana Inggeris di sebalik menyaksikan pasukannya menang lima daripada enam perlawanan.

United, yang tidak menang kejuaraan sejak Alex Ferguson mengendalikan pasukan itu pada 2013, kini menghuni tangga kedua carta, terikat sama mata dengan Manchester City dengan 16 mata, namun tercicir kerana jurang perbezaan gol.

Pengurus berbangsa Portugis itu mengakui pasukannya bermula lebih baik berbanding musim lalu namun melihat bulan depan, apabila mereka menentang Liverpool dan Tottenham Hotspur, sebagai lebih penting.

“Saya tahu musim lalu ketika ini saya fikir kami mungkin kurang lima atau enam mata berbanding apa yang kami raih musim ini,” katanya. “Jadi kami lebih bagus musim ini berbanding musim lalu.

“Tapi tiada gunanya. Ia hanya satu permulaan. Tempoh sukar dengan beberapa perlawanan genting Oktober ini. Saya benar-benar rasakan enam pasukan akan bersaing merebut kejuaraan.”

Kemenangan besar Manchester City 5-0 mengatasi Crystal Palace malam tadi meletakkan mereka di depan United di puncak namun kemenangan tipis 1-0 di Southampton membuktikan kualiti perjuangan United di sebalik kehebatan serangan seperti dipamerkan mereka akhir-akhir ini.

Namun kemenangan United dicemari dengan lebih kerap laungan dan nyanyian tidak sopan daripada penyokong pelawat terhadap penjaring gol Romelu Lukaku.

United dilihat akan menang selesa selepas gol Lukaku pada minit ke-19 namun bergantung harap kepada kekebalan benteng pada babak kedua dan Mourinho memuji persembahan Phil Jones dan Eric Bailly di pertahanan tengah.

“Begitu juga Chris Smalling,” katanya. “Kami melakukan apa yang majoriti pasukan Liga Perdana lakukan bagi 20 minit terakhir iaitu bermain secara bertahan dengan lima pemain di pertahanan. Kami mempunyai peluang untuk menambah gol kedua tapi gagal.”

Bos United itu, yang diarah ke bangku penonton pada lewat perlawanan berkata, cuaca panas di pantai selatan itu menyukarkan pemainnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 11:09 AM