ZIDANE akui tiada lagi ruang untuk Real lakukan kesilapan. -Foto EPA
AFP

SELEPAS hanya lima perlawanan, Real Madrid berubah daripada pencabar utama kejuaraan La Liga kepada kelab yang tercicir tujuh mata di belakang peneraju, Barcelona menjelang kunjungan ke Alaves, esok.

Ketika Real membelasah Barca yang sedang mengharungi krisis 5-1 dalam Piala Super Sepanyol bulan lalu, skuad bimbingan Zinedine Zidane itu dijangka akan mendominasi saingan elit Sepanyol sekali lagi.

Sebaliknya, Real dipalit kekecewaan apabila diikat Valencia dan Levante di laman sendiri sebelum Real Betis menjadi pasukan selain Barca dan Atletico Madrid meraih kemenangan di Santiago Bernabeu dalam kempen La Liga untuk tempoh enam setengah tahun, semalam.

“Kami sudah tercicir tujuh mata dalam jumlah perlawanan yang kecil namun perjalanan masih jauh lagi dan kami tidak boleh membuang segala-galanya yang sudah kami lakukan setakat ini ke bakul sampah hanya disebabkan dua atau tiga perlawanan yang biasa,” kata Zidane.

“Saya tahu ramai yang tidak menggemarinya apabila apa yang kami lakukan tidak berhasil, namun kita perlu menerimanya dan bertenang.

“Saingan liga masih panjang dan kami juga akan tetap bertenang kerana kami akan meningkatkan diri dan musim kami ini akan menghasilkan hari yang baik.”

Rekod Real di gelanggang lawan agak baik setakat ini dengan kemenangan ke atas Deportivo la Coruna dan Real Sociedad, selain menewaskan Barca dan Manchester United dalam Piala Super UEFA.

“Ia seolah-olah seperti kami gagal menjaringkan gol awal di Bernabeu, kami mula merasa cemas,” kata pemain tengah, Isco.

“Ia sesuatu yang kami perlu perbaiki dan adalah lebih baik ia berlaku sekarang di permulaan musim berbanding apabila tiada lagi ruang untuk kesilapan.”

Ketika Real mengharungi permulaan sukar untuk mengekalkan kejuaraan, Alaves berdepan mimpi ngeri apabila tewas kelima-lima perlawanan musim ini yang membawa kepada pemecatan jurulatihnya, Luis Zubeldia.

Begitupun, pertembungan di Mendizorroza tidak akan menemukan Zidane dan anaknya, Enzo selepas dia tidak dibenarkan beraksi untuk Alaves, susulan perjanjian pinjaman dari Real.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 12:57 PM