CAVANI (kiri) dan Neymar ketika sesi latihan skuad PSG. -Foto REUTERS
AFP

PARIS: Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery mengakui wujud ketegangan di bilik persalinan di Parc des Princes susulan pertikaian membabitkan Neymar dan Edinson Cavani ketika menentang Lyon, minggu lalu.

Begitupun tegasnya, perbalahan yang berlaku susulan pertikaian siapa yang sepatutnya mengambil sepakan penalti membabitkan dua bintang itu satu perkara biasa.

“Mereka pemain yang amat kompetitif. Pertama sekali, mereka mahukan yang terbaik untuk pasukan, namun mereka juga mempunyai objektif individu,” kata Emery semalam.

“Saya menegaskan suasana dalam skuad baik. Hanya selepas perlawanan ia amat emosi, jadi anda boleh katakan ada perbincangan. Orang mungkin menggelarnya pertikaian namun ia normal dan berlaku hampir dalam setiap perlawanan.

“Tapi ia tidak merosakkan keharmonian atau suasana baik dalam pasukan,” ujar pengurus dari Sepanyol itu.

PSG menewaskan Lyon 2-0 dalam aksi Ligue 1 untuk melakar enam kemenangan berturut-turut sepanjang kempen musim ini, namun insiden di depan kotak penalti itu lebih mencuri tumpuan.

Juara Perancis itu sedang mendahului 1-0 sebelum memperoleh penalti susulan kekasaran ke atas Kylian Mbappe 10 minit sebelum tamat.

Sudah menjaringkan tiga gol menerusi penalti musim ini, Cavani beranggapan dia berhak mengambilnya namun Neymar cuba untuk merampas bola sebelum penyerang Uruguay itu melakukan sepakan. Begitupun, Cavani gagal menjaringkan gol apabila sepakannya diselamatkan.

Mengulas kritikan membabitkan corak pengurusannya berikutan insiden itu, Emery berkata ia akan diselesaikan.

“Tahun lalu Cavani ditugaskan mengambil penalti. Tahun ini dengan kehadiran Neymar, ia menjadi dua. Selepas itu, siapa nombor satu dan dua saya akan tentukan kemudian,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 10:18 AM