Batshuayi (kiri) jaring tiga gol bantu Chelsea layak ke pusingan keempat Piala Liga Inggeris. -Foto Reuters
AFP

LONDON: Hatrik penyerang Michy Batshuayi membantu Chelsea membenam kelab divisyen dua Nottingham Forest 5-1 pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Pengurus Antonio Conte melakukan sembilan perubahan pemain daripada skuad yang seri 0-0 dengan Arsenal Ahad lalu, ketika Eden Hazard turun dalam kesebelasan utama buat kali pertama musim ini selepas pembedahan buku lali.

Kenedy bermain kali pertama sejak dihantar pulang daripada jelajah pramusim Chelsea di Asia Julai lalu berikutan komen negatifnya dalam media sosial mengenai China.

Usahanya untuk kembali memikat hati Conte amat positif apabila pemain sayap Brazil itu meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-13 dengan gol pertamanya sejak Mac 2016.

Penamat jarak dekat Batshuayi menggandakan pendahuluan Chelsea enam minit kemudian sebelum pemain Belgium berusia 20 tahun, Charly Musonda menyumbat gol pertamanya bersama Blues pada minit ke-40.

Batshuayi meraih gol keduanya menerusi hantaran Hazard pada minit ke-53 dan penyerang Belgium itu melengkapkan hatriknya empat minit sebelum tamat ketika Forest membalas menerusi Tendayi Darikwa pada masa kecederaan.

Seminggu selepas hari jadi ke-17, pemain gantian Ethan Ampadu muncul pemain pertama lahir di milenium baru untuk mewakili Chelsea.

Theo Walcott memastikan Arsenal menang 1-0 ke atas kelab divisyen tiga Doncaster di Stadium Emirates.

Bos Gunners, Arsene Wenger merombak keseluruhan barisan pemainnya berbanding seri dengan Chelsea apabila Per Mertesacker, Alexis Sanchez dan Olivier Giroud muncul antara kesebelasan utama.

Sanchez mencipta gol pembukaan pada minit ke-25, melorongkan bola cantik kepada Walcott, yang mengawal seketika sebelum merembat masuk.

“Ia satu kerja keras, pujian buat Doncaster. Saya agak bimbang, mereka kelihatan berbahaya,” kata Wenger.

Dua gol Dominic Calvert-Lewin membantu Everton menang 3-0 ke atas kelab divisyen dua Sunderland di Goodison Park.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 10:37 AM