MOURINHO memeluk Juan Mata ketika aksi menentang Everton. -Foto AFP
AFP

MANCHESTER, England: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menegaskan terikat dengan Manchester City di tangga teratas Liga Perdana Inggeris tidak terlintas di fikirannya berikutan kemenangan 4-0 ke atas Everton.

United sama mata dan perbezaan gol seperti pasukan Pep Guardiola selepas gol daripada Antonio Valencia (m-4), Henrikh Mkhitaryan (m-83), Romelu Lukaku (m-89) dan Anthony Martial (m-92, penalti) memastikan kemenangan ke atas Toffees.

“Saya langsung tidak terfikir mengenai Man City,” kata Mourinho. “Saya memikirkan mengenai Tottenham, Arsenal, Chelsea dan Liverpool.

“Mereka tidak menang perlawanan mereka dan ia peluang buat kami untuk meraih dua mata seperti mereka dapat minggu lalu apabila kami seri dengan Stoke. Saya hanya memikirkan mengenai mereka, bukan City. City menang perlawanan mereka, mereka melaksanakan tugas.

“Jelas ini berbeza berbanding musim lalu. Kami bermain lebih bagus dan menjaringkan lebih banyak gol.”

Mourinho berasakan jurang kemenangan itu, yang dicapai menerusi tiga gol dalam tujuh minit terakhir, tidak menggambarkan dominasi pasukannya.

“Saya fikir jika keputusannya 2-0 atau 3-0 selepas 30 minit saya akan katakan ia satu permainan bola sepak menakjubkan kami dalam 30-35 minit pertama, dominasi kukuh menentang pasukan yang bertahan dengan lima atau empat pemain, saya fikir kami bertindak mengagumkan.

“Kemudian kedudukan 2-0 dan selepas gol ketiga dan keempat hadir ia disebabkan satu pasukan bersedih dan satu pasukan lagi bergembira. Ia mungkin persembahan terbaik kami musim ini.”

Mourinho turut menafikan laporan kecederaan dialami pemain tengah Perancis, Paul Pogba ketika menang dalam Liga Juara-Juara ke atas FC Basel akan menyaksikannya diketepikan hingga tiga bulan.

“Saya tidak tahu jika ia 12 minggu atau 12 hari, sejujurnya,” tegas Mourinho.

“Apa-apa komen, khabar angin jelas tidak benar kerana kami belum tahu sama ada ia 12 minggu atau 12 hari. Pemain itu diperiksa selepas perlawanan.

“Ia kecederaan di hamstring. Tapi kami memiliki prosedur biasa dan perlu menunggu beberapa hari lagi. Ia maklumat yang karut.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 12:29 PM