FITRI miliki lebih 50 koleksi motosikal mainan.
AKSI Fitri bersama PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

Terdapat pelbagai cara untuk membolehkan seseorang individu itu mendapatkan inspirasi bagi diterapkan dalam kehidupan dan kerjaya masing-masing.

Ada yang membaca buku berkonsepkan motivasi dan tidak kurang juga yang menjadikan individu lain sebagai idola dalam mengejar cita-cita.

Bagi pelumba Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia, Muhamad Fitri Ashraf Razali, dia mempunyai cara tersendiri untuk memastikan semangatnya berkobar-kobar dalam mengejar cita-cita menjadi seorang pelumba terbaik dunia iaitu dengan mengumpul koleksi model motosikal mainan.

Bunyinya seakan tidak serius, namun bagi pelumba yang senang disapa Fitri itu, dengan mengumpul motosikal mainan yang sebahagian besarnya adalah model daripada jentera perlumbaan sebenar, ia memberi motivasi tambahan kepadanya.

“Banyak koleksi yang saya ada adalah daripada model jentera sebenar yang beraksi di MotoGP (Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia). Antaranya adalah koleksi motosikal Valentino Rossi yang digunakan daripada awal pembabitannya dalam dunia perlumbaan hinggalah sekarang.

“Koleksi jentera Rossi adalah antara yang paling lengkap saya ada tetapi saya ada juga koleksi motosikal pelumba lain.

“Paling saya sayang adalah model jentera terakhir yang digunakan oleh Marco Simoncelli sebelum dia maut di Sepang pada 2011.

“Tapi malangnya, koleksi itu sudah tiada lagi kerana ayah memberikannya kepada rakannya yang juga mempunyai minat sama,” katanya yang beraksi bersama PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ.

Menceritakan bagaimana dia mula berminat untuk mengumpul koleksi motosikal mainan, Fitri berkata ia adalah hasil inspirasi ayahnya, Razali Ahmad.

“Saya lihat beliau cukup bersemangat mengumpul motosikal mainan. Senang kata, saya hanya menyambung apa yang diminatinya itu.

“Hingga sekarang, saya sudah mempunyai lebih 50 koleksi motosikal mainan yang semuanya diletakkan dalam satu tempat di rumah.

“Biasanya saya membeli model berkenaan di pusat beli belah dengan harga antara RM40 hingga RM50 untuk setiap sebiji model motosikal mainan,” katanya.

Jelas Fitri lagi, dia mempunyai impian untuk mengumpul koleksi semua pelumba ternama tempatan seperti Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Raceline Malaysia) serta Khairul Idham Pawi (IDEMITSU Honda Team Asia).

“Tapi setakat ini saya belum jumpa lagi kedai atau pusat membeli belah yang menjual model motosikal mainan pelumba tempatan kita.

“Kalau ada memang mungkin saya antara orang terawal yang akan membelinya,” katanya.

Pelumba yang bakal beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Chennai, India minggu depan itu berkata, jika boleh dia mahu mencari individu atau kedai yang mempunyai kepakaran untuk menghasilkan motosikal mainan itu.

“Sebab saya hendak membuat koleksi motosikal di Cub Prix pula termasuk pasukan yang saya wakili sendiri.

“Tapi setakat ini saya tak jumpa lagi pihak yang mempunyai kepakaran itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 5:11 AM