HAMILTON ketika menghadiri pelancaran ‘Mercedes AMG Project One’ di Frankfurt, Jerman.
AFP

SINGAPURA: Lewis Hamilton akan berusaha menjejaskan impian kejuaraan dunia Sebastian Vettel dengan cuba menafikan kemenangannya di Singapura - dua minggu selepas merosakkan sambutan ulang tahun Ferrari di Monza.

Hamilton menjadi sekadar pilihan kedua menentang pencabar kejuaraannya di litar berliku dengan 23 selekoh dan cuaca panas berbahang di Marina Bay, yang menjadi kekuatan Ferrari selepas Vettel menang empat daripada sembilan perlumbaan.

Namun kemenangan tidak dijangka pemandu Mercedes itu, yang mendahului kejuaraan dunia dengan hanya tiga mata menerusi kemenangan hebatnya di Itali, pasti mencetus butang panik di Ferrari.


VETTEL (kiri) tekad atasi Hamilton di Singapura.

Pasukan itu masih terkilan dengan kejayaan Hamilton menang di litar halaman mereka bulan ini - mencacatkan parti ulang tahun ke-70 mereka sekali gus mencetus ejekan di podium daripada peminat yang berang.

Satu lagi kekecewaan di Singapura Ahad ini, perlumbaan ke-14 daripada 20 perlumbaan dan permulaan tidak rasmi bagi persaingan memburu kejuaraan, akan mengendurkan keyakinan Ferrari mampu muncul juara dunia kali pertama dalam tempoh sedekad.

Prinsipal Mercedes, Toto Wolff berkata, pemandu Jerman itu berdepan hujung minggu yang sukar - namun dia menyedari hakikat dalam lima daripada tujuh musim terakhir, pemenang di Itali turut menang di Singapura.

“Setakat ini tahun ini, kita sudah lihat keputusan berubah mengikut gaya litar. Di atas kertas, Singapura litar yang patut memberi kelebihan kepada Ferrari dan Red Bull,” ujar Wolff.

“Kedua-duanya mempamerkan prestasi hebat di litar kurang pantas dan kami berdepan sedikit kesukaran di tempat sebegitu pada 2017.

“Namun kami menyasarkan untuk melupakan semua faktor itu dan menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik.”

Persembahan mengagumkan Hamilton pada sesi kelayakan tahun ini yang menyaksikannya meraih rekod dunia petak utama ke-69 di Monza, turut memberi peluang buat Mercedes.

Semua kecuali dua perlumbaan di Singapura dimenangi dari petak utama dan Hamilton kini bertindak garang, menang tiga daripada empat perlumbaan Grand Prix terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 3:42 PM