VUKMIROVIC (dua dari kanan) sudah pulang ke negara kelahirannya. -Foto fail
Ajitpal Singh
ajitpalsingh@nst.com.my


KELAB yang bersaing di Liga Perdana, Kuantan FA didakwa masih gagal membayar gaji pemain mereka sejak lebih 11 bulan lalu.

Difahamkan, pengurusan pasukan melarang pemain dan jurulatih kelab itu daripada mendedahkan masalah berkenaan tetapi beberapa individu yang rapat dengan pasukan sudah memuat naik perkara itu di laman web sosial.

Sumber di Kuantan menyebut, masalah itu sudah bertambah buruk hinggakan ada di antara pemain yang terpaksa membuat kerja lain bagi menampung perbelanjaan.

Ada pemain yang bekerja sebagai penghantar surat manakala ada juga yang sudah tidak lagi mahu bermain dan membuka sebuah kedai mencuci kereta.

Bagaimanapun, Kuantan FA yang bersaing di Liga Perdana sejak 2015, sudah berjanji akan menyelesaikan semua tunggakan gaji ke atas pemain dan pegawai pasukan sebelum mereka menarik diri musim depan.

Pemain import dari Serbia, Stefan Vukmirovic dan Sim Woon Sub dari Korea Selatan sudah pulang ke negara masing-masing, Jun lalu manakala kedudukan pemain Jepun, Shunsuke Nakatake masih belum dapat dipastikan.

Seorang lagi import dari Serbia, Ljubo Baranin masih ada di kelab berkenaan.

Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar mengesahkan keempat-empat pemain import terbabit sudah memfailkan kes ke atas Kuantan FA manakala pemain tempatan juga sudah setuju untuk memanjangkan kes sama kepada PFAM.

“Kes ini amat serius hinggakan pemain tidak mampu untuk ke Kuala Lumpur bagi membuat aduan secara rasmi. PFAM akan turun ke Kuantan untuk bertemu mereka dalam masa terdekat ini,” kata Hairuddin.

Isi kandungan surat yang ditujukan kepada presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan presiden Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah sedang tersebar di laman sosial sejak Isnin lalu.

Antara kandungannya berbunyi: “Kami tidak ada duit untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga. Keadaan menjadi lebih buruk apabila isteri dan anak-anak tidak dapat membeli makanan yang diinginkan.

“Kami juga tidak ada duit untuk mengisi minyak kenderaan ke tempat latihan. Kami tahu bahawa Kuantan FA bukan kelab besar tetapi mereka sepatutnya bertanggungjawab dengan membayar gaji kami. Ini tidak sepatutnya berlaku dalam era bola sepak profesional. Kami sedang kelaparan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 10:25 PM