CONTE (dua dari kanan) harus tiada masalah berdepan Qarabag awal pagi Rabu ini.
AFP

LONDON: Kecewa dengan kegagalan lampaunya dalam Liga Juara-Juara, pengurus Chelsea, Antonio Conte berusaha mengatasi semua itu dengan misi menebus kesilapan apabila beliau kembali ke pertandingan itu selepas empat tahun menyepi.

Conte masih terasa parut malam penuh salji di Istanbul pada 2013 apabila Juventus mengalami kekalahan mengejut di tangan Galatasaray yang menyebabkan kelab gergasi Itali itu tersingkir daripada pertandingan elit kelab Eropah itu.

Penyingkiran memalukan itu kekal menjadi pengalaman terakhir Conte dalam Liga Juara-Juara namun beliau akan mengakhiri penantian itu awal pagi Rabu ini apabila Chelsea menanti kunjungan kelab kerdil Azerbaijan, Qarabag bagi aksi pembukaan Kumpulan C.

Sesudah mengemudi Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu, jurulatih berusia 48 tahun itu pasti teruja untuk membimbing kelab London itu menang trofi Liga Juara-Juara kali kedua.

Namun pengalaman pahit menyebabkan Conte tidak mengambil mudah saingannya.


PEMAIN tengah Chelsea, Eden Hazard (kanan) berlatih bersama Willian.

Pada kempen sulungnya dalam Liga Juara-Juara pada 2012-13, Juventus diundi bertemu majikan masa depan Conte, Chelsea selain Shakhtar Donetsk dan Nordsjaelland.

Pasukan Conte menjuarai kumpulan itu dengan rekod tanpa kalah tiga menang dan tiga seri, termasuk membenam juara bertahan Chelsea 3-0 di Itali dan seri 2-2 di Stamford Bridge.

Bianconeri mara selepas mengatasi Celtic pada pusingan kedua, dengan kemenangan 3-0 dan 2-0 ke atas kelab Scotland itu.

Namun pada suku akhir, Juventus berdepan buku dengan ruas apabila menentang Bayern Munich.

Sekalipun pasukan kendalian Conte terlalu unggul di Serie A - yang mana mereka menang kejuaraan dengan perbezaan sembilan mata, Bayern mengajar mereka pelajaran berguna di Eropah.

Bayern menang 2-0 di laman sendiri dan mara ke separuh akhir dengan satu lagi jaringan sama di Turin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 1:00 PM